Panasnya Hari Ini

‘Kepimpinan Najib Tidak Bawa Manfaat Kepada Negara’ – Mahathir

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menggesa agar semua ahli UMNO dan rakyat terus mempersoalkan tentang isu dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas Tun Mahathir lagi, sekiranya Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri, Malaysia akan menghadapi zaman kehancuran.

“Kepimpinan Najib tidak membawa manfaat sama sekali kepada negara. Hakikatnya Najib tidak layak…kalau dia kekal sebagai Perdana Menteri, negara ini akan hancur.

“Bercakaplah mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion tanpa kesal kerana kalau tak berani menyebut perkara ini, kita akan jadi mangsa,”katanya, memetik laporan daripada mstar.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam satu majlis khas yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Katanya lagi, tidak mustahil rakyat di negara ini akan menjadi pengemis dalam negara sendiri.

“Kata pepatah Inggeris…no risk no gain. Kalau kita balik nak tidur nyenyak sahaja, bila kita celik mata, negara kita sudah hilang…kita menjadi pengemis dalam negara sendiri,”ujarnya.

Bekas Presiden UMNO itu turut menggesa supaya Najib berhenti daripada menggunakan UMNO sebagai platform untuk terus berkuasa.

“Saya tahu terdapat pelbagai sekatan terhadap ahli supaya mereka tidak suarakan mengenai 1MDB dan dana RM2.6 bilion. Ini usaha untuk membisukan ahli.

“Perhimpunan Agung UMNO kini menjadi alat kepada pemimpin dengan menetapkan topik yang ingin dibahaskan untuk kepentingan diri,”katanya ketika berucap selama 45 minit dihadapan penyokong yang hadir.

Dalam ucapannya juga, Tun Mahathir dengan tegas berkata beliau tidak memusuhi parti keramat itu dan masih sayang dengan UMNO.

“Kita tak bermusuh dengan UMNO, tapi tak bersetuju dengan pemimpin yang ada sekarang…itu sahaja,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");