Jenayah

Kereta bertembung, tiga sahabat maut di tempat kejadian

KOTA TINGGI: Empat maut termasuk tiga sahabat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 56.7 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 2, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kereta Proton Satria yang dinaiki tiga sahabat berlanggar dengan sebuah Proton Saga FLX yang dinaiki sepasang suami isteri.

Kesemua mangsa maut di tempat kejadian iaitu penumpang Proton Saga FLX, Fatimah Yet, 41, dan tiga sahabat tersebut, Muhamad Rizan Ab Kadir, 34, Mohd Remey Wahab, 28 dan Mohd Zakri Omar, 30.

Seorang lagi mangsa, pemandu Proton Saga FLX, Md Jefri Johari, 43, yang merupakan suami kepada Fatimah cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Satria yang datang dari arah Sungai Rengit menghala Kota Tinggi terbabas dan melanggar secara berdepan dengan Proton Saga FLX yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat dari kemalangan itu kesemua mangsa terbabit meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemandu Proton Saga FLX menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala mempunyai garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan dan garisan lurus menghala ke Sungai Rengit serta garisan putus-putus menghala ke Kota Tinggi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Satria terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga FLX.

Ketika kejadian cuaca kering dan keadaan gelap tiada lampu di kiri kanan jalan,” katanya lagi.

Tambahnya, semua mangsa dibawa ke Unit Forensik HKT untuk bedah siasat manakala kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");