Berita Hari Ini

Kurang menteri bukan langkah bijak

SHAH ALAM – Cadangan mengurangkan jumlah menteri sedia ada ketika ini bukan satu pendekatan yang bijak dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan jumlah menteri termasuk menangguhkan kenaikan elaun menteri dan ahli Parlimen tidak boleh menyelesaikan masalah besar.

“Cadangan itu hanya boleh menyelesaikan masalah persepsi ‘sekurang-kurangnya kerajaan bersungguh mengurangkan perbelanjaan negara’,” katanya.

Sebaliknya Samsu berpendapat, kerajaan sepatutnya menambahkan bilangan menteri sedia ada bagi memudahkan pengurusan.

“Sebelum ini, pendidikan dan pengajian tinggi diletakkan di bawah satu kementerian dengan seorang menteri, namun mendapat kritikan pihak di sektor pengajian tinggi.

“Bagi memudahkan pengurusan adalah lebih baik pendidikan dan pengajian tinggi diletakkan di bawah dua kementerian berbeza memandangkan terdapat 20 buah universiti awam tidak termasuk universiti swasta,” katanya.

Jelasnya, sudah tiba masa kerajaan memikirkan untuk mewujudkan dua kementerian kesihatan yang menjalankan portfolio berbeza sesuai dengan pertambahan penduduk melebihi 30 juta orang.

“Pertambahan menteri, selain memudahkan pengurusan ia juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Untuk mengurangkan kos sara hidup, kerajaan harusnya menyelesaikan masalah dari peringkat akar umbi termasuk mereka di kampung, bandar dan penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, walaupun gaji penjawat awam dinaikkan (dilihat menambah beban kerajaan), namun ia motivasi kepada rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

“Bagaimanapun (kenaikan gaji) akan menimbulkan masalah lain. Gaji naik, harga barang pun naik. Ini memerlukan penguatkuasaan pemantauan lebih baik berbanding mengurangkan menteri demi perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan jumlah menteri dikurangkan untuk mengurangkan belanja pengurusan.

Beliau dilaporkan berkata, ia sebagai langkah awal kerajaan mengurangkan kos kerana saiz Kabinet kini tidak sepadan dengan jumlah penduduk.

Turut dicadangkan penangguhan kenaikan elaun menteri dan ahli Parlimen selain mengurangkan lawatan ke luar negara.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");