Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan menyenarai pendek jumlah calon bagi jawatan jurulatih perseorangan lelaki negara.
Sebaliknya, Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen berkata, sekiranya lebih ramai berminat mengisi jawatan itu, pihaknya akan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Bagi saya lebih banyak calon berminat lebih baik. Sebab jika ia berlaku, lebih banyak pilihan kerana kami mahu mencari yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara semalam.
Jelas Frost, sehingga kini pihaknya masih belum membuat keputusan siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan jurulatih perseorangan lelaki negara.
“Kalau boleh kami memang mahu dapatkan khidmat mereka lebih awal tapi sehingga kini belum menemui calon.
“Bagi saya, selain memikirkan sama ada mahu mendapatkan calon tempatan atau asing, paling penting mereka perlu mempunyai kualiti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai hasrat bekas juara Seluruh England 2003, Muhamad Hafiz Hashim yang berminat menggalas tugas jurulatih perseorangan negara, Frost berkata, bekas pemain negara itu tiada dalam kotak fikirannya.
“Sebab saya difahamkan beliau memohon untuk menjadi jurulatih di Scotland (Persatuan Badminton Scotland). Jadi saya tidak mahu komen.
“Setakat ini beliau tiada dalam perancangan saya,” katanya.
BAM ketika ini sedang mencari seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki kerana badan induk itu kini hanya bersandarkan kepada Hendrawan dan Tey Seu Bock saja.
Tuntutan untuk menambah seorang lagi jurulatih disuarakan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei kerana mahu mempunyai dua jurulatih bagi menemaninya dalam sesuatu kejohanan termasuk Sukan Olimpik Rio tahun depan.
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98644#sthash.ldu1jBAO.dpuf