Jenayah

Lelaki, dua rakan ditahan serang, pukul ejen EPS

KLUANG: Seorang suami pemilik kereta dan dua rakannya ditahan polis selepas menyerang dan memukul dua ejen pemilikan semula (EPS) yang menarik kereta digunakan isterinya, 18 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, bayaran ansuran kenderaan itu dikatakan telah tertunggak selama empat bulan di Public Bank dan mangsa, seorang lelaki berusia 37 tahun dan rakannya berusia 40 tahun sedang menjalankan tugas ketika diserang.

Menurutnya, kira-kira jam 1.40 petang hari kejadian, kedua-dua mangsa ke sebuah kilang di Batu 5, Jalan Mersing, Kampung Gajah, untuk menarik sebuah kereta Toyota Wish sebelum didatangi tiga lelaki berusia lingkungan 27 hingga 35 tahun dengan membawa besi berbentuk ‘L’, besi paip dan sepanar untuk menyerang serta memukul mereka.

“Akibat serangan tersebut, seorang mangsa cedera di kepala dan badan. Bertindak atas aduan mangsa, pihak polis telah menangkap suami pemilik kereta dan dua rakannya serta merampas senjata digunakan ketika mereka hadir sama ke balai polis untuk membuat laporan polis.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berpunca kerana suspek tidak berpuas hati apabila pengadu (ejen EPS) menarik keretanya dengan cara kasar. Suspek mengambil senjata daripada kereta lalu menyerang ejen berkenaan,” katanya ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Mohamad berkata, suami pemilik kereta dan dua rakannya ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Disember ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda atau sebat, atau mana-mana dua sekiranya sabit kesalahan.

“Saya nasihatkan orang awam tidak mengambil tindakan melulu yang menyalahi undang-undang. Jika ada masalah, sila buat laporan polis dan mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut pihak polis,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");