Jenayah

Lelaki jatuh ketika seberang sungai dikhuatiri lemas

Rantau Panjang: “Saya berdoa biarlah dia ditemui selamat,” kata Awang Noh Awang Chik, 61, bapa kepada Mohd Khairul, 27, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tebing Sungai Golok di sini, malam kelmarin.

Mohd Khairul dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai itu dari negara jiran bersama rakannya yang sempat menyelamatkan diri, jam 10 malam.

Difahamkan ketika kejadian, kedua-dua mangsa dihanyutkan arus sungai.

Awang berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian menimpa anak keempat daripada tujuh beradik itu jam 6 pagi semalam oleh rakan anaknya dikenali Nijam, 27.

“Sebelum itu, Mohd Khairul keluar rumah di Kampung Banggol Kulim di sini, sekitar 3 petang (kelmarin) dan pulang sekitar jam 11 atau 12 malam.

“Tetapi sampai pagi tadi (semalam) dia tak pulang. Sebaliknya Nijam datang memaklumkan Khairul jatuh ke sungai,” katanya, di sini, semalam.

Berikutan itu dia membuat laporan pagi semalam, di Balai Polis Rantau Panjang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Rahmat Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.00 pagi semalam.

Katanya, sepasukan 18 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, kawasan carian tertumpu di lokasi mangsa terjatuh hingga ke Jambatan Muhibbah sejauh lebih satu kilometer.

“Operasi turut dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bermula 9 pagi tadi (semalam) sehingga 6 petang.

“Kami belum jumpa petunjuk dan operasi bersambung hari ini,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");