Jenayah

Lelaki maut langgar kerbau

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka melanggar sekumpulan kerbau di Jalan Kampung Gong Pipit, di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber, arwah, Muhamad Safarin Muhamad, 31, dari Kampung Rajawali, Chendering, di sini, maut di tempat kejadian dalam nahas yang melibatkan dua buah motosikal, kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kejadian berlaku ketika arwah yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan dari Kampung Atas Tol menuju ke Kampung Gelugor, di sini.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, arwah dipercayai telah melanggar sekumpulan kerbau yang muncul secara tiba-tiba hendak melintas jalan.

“Disebabkan suasana di sekitar lokasi ketika kejadian amat gelap, jadi, arwah tidak sempat menghentikan motosikalnya ketika kerbau berkenaan melintas di hadapannya lalu arwah telah tercampak di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber berkata, seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal berasingan dari arah sama bernasib baik apabila sempat mengelak daripada terlanggar motosikal arwah dan sekumpulan kerbau berkenaan.

“Ini kerana mangsa yang mengekori dari belakang berada agak jauh, jadi apabila melihat situasi itu, dia sempat mengelak dan hanya mengalami cedera ringan sahaja.

“Manakala rakan arwah yang membonceng motosikal juga hanya cedera ringan sahaja kerana ketika kejadian, dia dipercayai sempat melompat turun dari motosikal tersebut,” katanya.

Jelasnya, arwah dipercayai meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di bahagian kepalanya.

Mayat dibawa ke Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam masa sama, Idris juga menasihati penduduk di sekitar kawasan itu yang memelihara haiwan ternakan agar tidak membiarkan ternakan itu berkeliaran di jalan raya hingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");