Jenayah

Lima tahun tunggu kepulangan anak

KUANTAN: “Saya terlalu rindukan anak tunggal saya dan selama lima tahun saya masih menunggu kepulangannya.”

Demikian rintihan seorang ibu yang merayu agar Norlida Othman, 22, yang menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita sejak lima tahun lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga.

Maimun Awang, 53, memberitahu kali terakhir dia mendapat panggilan telefon daripada anak perempuannya itu pada tahun 2011.

“Ketika itu Norlida memaklumkan yang dia ingin bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang selepas tamat pengajian di Kolej Massa Bukit Prima, Puchong, Selangor.

“Selepas itu, saya langsung tidak menerima sebarang panggilan daripadanya,” katanya.

Meskipun tiada sebarang khabar berita anaknya, namun Maimun yakin anaknya kini berada dalam keadaan baik berdasarkan penyata akaun Maybank anaknya yang dihantar ke alamat rumahnya di Kampung Seri Cempaka, di sini, setiap bulan.

“Saya hairan kenapa dia langsung tidak balik ke rumah ataupun menghubungi kami, malah sewaktu ayah kandungnya meninggal dunia pada awal tahun lalu akibat serangan jantung, kelibatnya langsung tidak kelihatan.

“Setahu saya hubungan kami sekeluarga amat baik dan tidak pernah ada sebarang masalah. Saya amat berharap dia terbuka hati untuk balik, perkara yang lalu janganlah diingat lagi.

“Sekiranya dia malu dan takut sekalipun, sekurang-kurangnya hubungilah saya menerusi telefon atau surat asalkan saya dapat mengetahui dia kini berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya di sini, kelmarin.

Maimun berkata, dia tidak dapat melelapkan mata kerana risau keadaan Norlida, tambahan pula dia kini menghidap penyakit kencing manis yang agak serius dan sering dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Saya selalu teringatkan dia, kadang kala sampai termimpi-mimpi. Setiap kali ada kenderaan berhenti di hadapan rumah saya akan bergegas mengintai melalui tingkap, mana tahu dia tiba-tiba balik.

“Setiap hari saya tidak pernah terlepas menonton rancangan berita kalau-kalau mukanya akan terpampang di kaca televisyen, saya amat risau kerana zaman sekarang apa-apa boleh terjadi,” katanya.

Maimun berharap orang ramai yang mengenali Norlida dapat menghubunginya di talian 017-9739623.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");