Membawang Hari Ini

Mark, Sam serlah sisi kelakar

Mereka berdua bukanlah pelawak tetapi kehadiran Sam Bunkface dan Mark Adam dalam Juara Parodi bersama barisan pelawak popular tanah air mendapat perhatian.

Dikenali dengan kumpulan Abang Face, Sam akui setiap minggu persaingan sangat sengit tetapi apa yang mereka lakukan ialah tegas beraksi sebaik mungkin.

Sam yang berganding dengan pelawak Joey dan Syuk (SYJ), tertarik menyertai Juara Parodi kerana mahu menimba pengalaman baru. Kata Sam, tarikan utama kerana program itu agak unik dan yakin banyak pengalaman akan ditimba.

“Mulanya janggal juga kerana kami pernah bertemu hanya dalam majlis hiburan dan hubungan pun tak rapat. Namun lepas tiga minggu bekerjasama untuk Juara Parodi, nampaknya gandingan kami makin serasi dan masing-masing sangat komited.

“Saya seronok bekerjasama dengan Joey dan Syuk kerana mereka memang berbakat dalam komedi serta ada banyak idea,” katanya.

Kata Sam, Juara Parodi juga sebagai tempatnya melepaskan tekanan dan gembira penyertaannya diterima baik peminat Bunkface.

“Dari segi idea untuk jalan cerita lirik yang menjurus pada komedi semestinya Joey dan Syuk bijak memainkan peranan mereka.

“Peranan saya pula, mempraktikkan kemahiran dalam muzik bagaimana hendak memastikan gabungan cerita dan lagu menjadi selari untuk persembahan.

“Sejak bergandingan bertiga, saya rasa serasi dengan Joey dan Syuk kerana kami sekepala. Masing-masing suka berbincang dan boleh terima pendapat.

“Selama beberapa minggu ini, saya pecah perut ketawa dengan kelakar Joey dan Syuk. Bagi saya, mereka berdua memang pelawak sejati,” katanya.

Selesa menjadi diri sendiri, Sam berkata dia jujur ketika berkarya. Begitu juga, pada pembabitannya dalam persaingan Juara Parodi.

Kata Sam, meskipun dia bukan pelawak, dengan ilmu serta pengalaman dimiliki sebagai penyanyi dan pemuzik, tiada salahnya untuk mencuba.

Mark, 36, yang mengembangkan karier seninya dalam bidang lakonan melalui drama Plan Cinta Tak Jadi, akui sangat terkejut apabila kemunculannya dalam Juara Parodi disukai ramai dan peminat mengatakan dia memiliki aura komedi tersendiri.

“Saya sebenarnya tak tahu pun dari padasudut mana peminat melihat sisi lucu yang ada pada saya. Bagaimanapun, saya tahu sebaik saya bercakap, orang biasanya akan ketawa.

“Mungkin cara pertuturan saya lucu, ditambah dengan reaksi muka bersahaja membuatkan peminat yakin saya boleh berlawak,” katanya.

Jelas Mark, pembabitannya dalam Juara Parodi sangat mencabar kerana ia tidak mudah sebaliknya menuntut daya kreativiti yang tinggi.

“Semua kumpulan yang bersaing sangat hebat dan persaingan setiap minggu benar-benar memberi tekanan. Pun begitu, saya hanya terus berusaha dan bersikap positif,” katanya.

Juara Parodi yang disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) setiap Jumaat, jam 10 malam, mempertaruhkan 10 pasukan menggandingkan penyanyi dan pelawak.

Mark bersama kumpulan Slumber Blur manakala Sam bergabung dengan Joey dan Syuk (SYJ). Pasukan lain ialah Mawi & The Loyar, Skru, Cuba Teka, Juri, Kobis Pedas, Righthanded dan Senaman.

Format pemarkahan pula sebanyak 70 peratus daripada juri profesional iaitu Afdlin Shauki dan Zainal Abidin manakala 30 peratus lagi melalui undian SMS.

Bersiaran selama 12 minggu, tiada penyingkiran dilakukan sehingga minggu ke-10 persaingan dan hadiah RM300,000 menanti juara selain trofi.

Bunkface 10 tahun

Meskipun sudah mendirikan rumah tangga, Sam Bunkface masih bertahan dan terus dipuja peminat. Malah tahun depan amat bermakna buat kumpulan yang terkenal dengan lagu Situasi apabila genap sedekad pembabitan mereka dalam industri.

Kata Shamsul Annuar Mohd Baharom atau Sam, 28, mereka akan muncul dengan single baru, Masih Di Sini yang dipilih menjadi runut bunyi filem animasi Boboiboy. Pelancarannya dirancang seiring dengan tayangan filem animasi Boboiboy di pawagam awal tahun depan.

“Alhamdulillah, Bunkface masih terus bertahan dalam industri. Kalau ditanya rahsianya, sudah tentu kerana perjuangan lagu-lagu dihasilkan yang menjurus pada suntikan semangat, berjaya memenuhi cita rasa pendengar muzik masa kini,” katanya.

Mark yang muncul dengan album sulung, Mark Adam pada Mac lalu, gembira kerana peminat memberikan sambutan baik terhadap album dan lagu-lagunya.

Jelasnya, dia sungguh terharu dengan sambutan baik pendengar terhadap beberapa lagu nyanyiannya seperti Si Katak, Pencuri, Senyum Lagi duet dengan Qierra, serta Marry Me.

“Sokongan positif itu menjadi peniup semangat untuk saya terus muncul dengan karya terbaik. Saya bakal muncul dengan single terbaru, Berat bergenre balada. Lagu ciptaan DJ Fuzz itu lebih menjurus pada kisah perpisahan dalam hubungan percintaan.

“Sebenarnya saya rancang untuk muncul dengan empat single baru. Namun, buat masa ini hanya satu lagu sudah disiarkan manakala tiga lagi menunggu masa yang sesuai,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");