KEMAMAN – Cubaan dua lelaki mencuri enjin generator di sebuah rumah bukan sahaja gagal malah membawa padah apabila salah seorang suspek maut ditikam dengan parang oleh tuan rumah dalam kejadian di Kampung Labohan, Kerteh, pagi semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10.28 pagi.
Menurutnya, dua suspek berkenaan dipercayai sedang mengumpil enjin generator di tepi rumah berkenaan ketika disergah oleh pemilik rumah yang berusia 40 tahun.
“Sejurus disergah, kedua-dua suspek bertindak menyerang pemilik rumah dengan bersenjatakan batang besi dan sebagai ikhtiar mempertahankan diri, tuan rumah mencapai sebilah parang.
“Semasa bergelut itulah, pemilik rumah tertikam salah seorang suspek di bahagian dada kanan manakala seorang lagi suspek turut tercedera terkena libasan parang berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Kuang, semalam.
Beliau berkata, selepas tercedera suspek yang berusia 36 tahun melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah di atas pembahagi jalan kira-kira 30 meter dari rumah berkenaan.
Tambahnya, suspek yang tinggal di Felda Kerteh 6, Bandar Ketengah Jaya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara rakannya berjaya meloloskan diri dengan menunggang motosikal ke arah Paka, Dungun.
“Tindak tanduk kedua-dua suspek ketika mengumpil enjin generator disedari oleh isteri pemilik rumah yang ketika itu berada di dalam rumah berkenaan yang menghubungi suaminya.
“Pemilik rumah pada ketika itu sedang bekerja di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumahnya. Sebaik menerima panggilan daripada isterinya, dia pulang segera ke rumah lantas terlihat perbuatan kedua-dua suspek,” katanya.
Rosli menjelaskan, pemilik rumah berkenaan bagaimanapun terpaksa ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun jika siasatan membuktikan kes menjurus ke arah mempertahankan diri, siasatan mungkin diubah mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.
-Sinar Harian