Sukan Hari Ini

Menakjubkan!

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David merakam sesuatu yang sukar dibayangkan mampu diulangi apabila menjuarai Terbuka Hong Kong buat kali ke-10 berturut-turut, semalam.

Pemain bintang berusia 32 tahun itu menundukkan seteru utamanya Laura Massaro dari England 15-13, 11-9, 11-3 pada perlawanan akhir di Pusat Sukan Hong Kong dalam tempoh 39 minit.

Aksi final itu adalah yang ke-100 dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) buat Nicol. Ia juga kejuaraan ke-80 secara keseluruhan buat Nicol sejak bergelar pemain profesional pada 2000.

Selepas set pertama yang sengit menyaksikan kedua-duanya berpeluang mendahului, Nicol mula mempamerkan taringnya pada set kedua sebelum mudah mendominasi set ketiga.

“Saya amat bertenaga hari ini dan turun beraksi bermati-matian,” kata Nicol penuh emosi. “Ini satu tempat istimewa dan saya terhutang budi kepada penonton di sini.

“Saya fikir ia satu daripada persembahan terbaik saya sejak akhir-akhir ini. Saya sedar dia seorang pejuang yang boleh bangkit mengancam tapi saya amat mahukannya hari ini dan itulah perbezaannya.

“Saya mahu menyerang sejak awal dan melakukan sedaya mungkin untuk memastikan saya menjulang trofi.

“Jika saya terus bermain sebegini dan bertindak baik maka saya sedar mampu menang semula,” kata pemain dari Pulau Pinang itu.

Nicol menjuarai Terbuka Hong 10 kali berturut-turut sejak 2006 manakala pada 2005 dia memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Dunia kali pertama juga di Hong Kong.

Kategori lelaki dimenangi pemain nombor dua dunia Mohamed Elshorbagy dari Mesir yang menundukkan pemain Australia Cameron Pilley 11-8, 11-6, 11-8.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");