Sukan Hari Ini

Mike Mulvey setuju tawaran Penyu

SELEPAS hampir sebulan melakukan rundingan bagi mendapatkan khidmat penasihat teknikal skuad Penyu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akhirnya memeterai kontrak selama setahun bersama Mike Mulvey di pejabat PBSNT, semalam.

Setiausaha Agung PBSNT, Aripin Draman berkata, selain memegang tugas selaku penasihat teknikal, bekas pengendali Sabah itu juga berperanan sebagai penolong ketua jurulatih pasukan Terengganu untuk musim 2016.

Menurutnya, pengendali berusia 52 tahun itu sudah bersetuju dengan tawaran dan akan memulakan tugasnya dengan skuad Penyu berkuat kuasa hari ini (semalam).

“Hasil perbincangan terakhir sebentar tadi (semalam), Mulvey bersetuju dan menandatangani kontrak bersama PBSNT selama setahun.

“Kita harap kehadiran Mulvey dapat membantu ketua jurulatih, Ahmad Yusof membentuk pasukan terbaik bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan,” katanya.

Sementara itu, Mulvey menganggap kehadirannya ke Terengganu adalah satu pengalaman baharu baginya dan bersedia untuk membantu skuad Penyu dalam memburu kejuaraan musim depan.

Katanya, walaupun sedikit sukar memandangkan sebelum ini dia pernah menjadi ketua jurulatih, tetapi bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya selaku pembantu ketua jurulatih dan juga berperanan sebagai penasihat teknikal pasukan.

“Sememangnya tugas saya ke sini adalah membantu Ahmad Yusof dalam memantapkan lagi pasukan.

“Buat masa ini masih terlalu awal untuk saya membuat rumusan kekuatan pasukan memandangkan pemain baharu memulakan latihan pra musim. Bagaimanapun saya akan lakukan perancangan rapi dalam setiap aspek permainan termasuk kemampuan individu pemain dan juga taktikal perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran England itu mengakui turut teruja melihat kehadiran penyokong ketika sesi pemilihan pemain import yang berlangsung baru-baru ini sekali gus membuktikan peminat juga mahukan perubahan dalam pasukan.

Justeru, dia akan berusaha memastikan pasukan Terengganu mampu memberi saingan sengit pada saingan musim depan dengan berkongsi kejayaan dan juga pengalaman yang dimilikinya sebelum ini.

Ditanya perancangannya untuk pasukan, Mulvey berkata, dia sudah pun mempunyai beberapa idea untuk diterapkan ke dalam pasukan, namun perlu melihat terlebih dahulu kemampuan pemain dalam sesi latihan.

“Apa yang saya boleh katakan Terengganu mempunyai ramai pemain berpengalaman, ditambah pula dengan kehadiran pemain import berkualiti, jadi saya rasa ia tidak beri sebarang masalah buat pasukan untuk melakarkan kecemerlangan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");