Perak Hari Ini

Misi Jadikan Lenggong Lokasi Antarabangsa

LENGGONG: Kerajaan Negeri Perak telah mengenalpasti tiga program utama untuk menjadikan daerah kecil Lenggong sebagai salah satu daripada pusat antarabangsa bagi tujuan kajian dan juga pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, program pertama dalam usaha untuk menjadikan Lenggong sebagai pusat antarabangsa melalui pelaksanaan Lenggong International Food Festival.

“Ini merupakan salah satu daripada idea dalam usaha kita untuk menjadikan Lenggong yang telahpun diiktiraf sebagai tapak warisan dunia untuk terus dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar Negara.

“Lenggong dikenali sebagai daerah kecil yang banyak mempunyai makanan-makanan tradisional yang agak unik dan kita harap dengan pendekatan yang akan kita lakukan, ianya dapat mengantarabangsakan daerah ini dari segi makanan,”katanya.

PERAKTODAY3

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Makanan Tradisional Lenggong di Dataran Lenggong, tengah hari tadi.

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan menerusi Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz telah menyatakan persetujuan bagi menjayakan hasrat kerajaan negeri itu.

“Kedua ialah, oleh kerana Lenggong telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia, kita juga telah mengadakan perbincangan awal melalui Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah untuk kita adakan seminar yang bertaraf antarabangsa di sini.

“Seminar ini berkaitan dengan warisan dan setidak-tidaknya, kita dapat mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang tersebut di sini untuk mereka mengadakan kajian-kajian mereka dan membentangkan hasil-hasil pertemuan mereka di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,”ujarnya.

Program yang ketiga dalam usaha mengantarabangsakan Lenggong adalah dengan kewujudan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong yang menjadi pusat kajian terbesar di Negara ini tentang tanaman tradisional dan herba.

“Saya difahamakan kolej ini telah mula beroperasi. Ia merupakan sebuah kampus besar yang boleh menempatkan sekitar 3,000 pelajar dan disini akan menjadi pusat kajian besar tentang hasil-hasil herba dan juga hasil tanaman tradisional yang ada di Negara kita.

PERAKTODAY2

“Dengan adanya KKTM ini, ia akan memberi impak yang besar dari segi pertumbuhan ekonomi di kawasan ini dengan menggalakkan penduduk-penduduk tempatan untuk menanam pokok-pokok yang mempunyai ramuan-ramuan besar dari segi nilai-nilai perubatan,”jelasnya.

Sementara itu, dianggarkan sekitar 5,000 penduduk sekitar daerah Lenggong telah hadir ke Pesta Makanan Tradisional Lenggong 2015

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan ADUN Kenering, Datuk Tarmizi Idris.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");