Membawang Hari Ini

Nad teruja kehidupan baru

Tanggal 18 Disember lalu menyimpul kenangan indah buat pelakon Nad Zainal, 25 apabila selamat diijabkabulkan dengan belahan jiwanya, Muhammad Faliq Amiruddin, 27, yang bekerja di belakang tabir.

Majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada jam 3 petang dan disaksikan anggota keluarga terdekat pasangan mempelai.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin bergelar isteri dengan sekali lafaz dan dinikahkan oleh bapanya, Zainal Abidin Abu, 56.

Pada majlis itu, Nad menerima mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin. Manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya dan dulang hantaran juga tidak dipersembahkan.

Majlis resepsi turut diadakan di lokasi sama pada sebelah malamnya dan dihadiri keluarga, rakan terdekat dan wakil media.

Nad yang ditemui pada majlis resepsi meluahkan rasa lega apabila hari bahagianya berjalan lancar.

“Saya berasa lega dan tidak sabar melalui kehidupan baru sebagai isteri. Saya juga ingin belajar menjadi isteri yang baik dan bertanggungjawab serta menjaga maruah suami,” katanya.

Bercerita mengenai perkenalan mereka, Nad dan Faliq berkawan sejak tujuh tahun lalu.

“Kami kenal ketika menuntut di Akademi Seni Warisan Kebangsaan. Ketika itu Nad junior saya dan hubungan kami tidak lebih daripada kawan,” kata Faliq.

Nad pula menambah, bait-bait cinta di antara mereka muncul secara tiba-tiba dan tidak dirancang.

“Faliq seorang yang selamba dan relaks. Dia juga rapat dengan rakan baik saya, pelakon Sherry Alhadad. Jadi, apabila Sherry dapat tahu saya ingin mengenali Faliq dengan lebih rapat, dia berkali-kali bertanya sama ada saya serius atau sekadar main-main.

“Apabila serasi berkawan, cinta pun bersemi dan syukur kami kini disatukan sebagai suami isteri,” katanya.

Menurut Nad, Faliq tidak menghalangnya meneruskan karier sebagai pelakon.

“Memandangkan suami bekerja di belakang tabir, dia menyokong kerjaya saya. Dia tidak pernah menghalang apa yang ingin saya lakukan.

“Cuma selepas ini saya perlu lebih teliti dalam pemilihan watak agar bersesuaian dengan status saya. Pada masa sama, saya perlu pandai jaga diri.

“Insya-Allah saya akan kembali bekerja pada pertengahan Januari nanti,” katanya.

Mengulas perancangan berbulan madu, Nad berkata setakat ini belum ada perancangan, namun mungkin akan memilih destinasi terdekat.

“Soal bulan madu kami belum fikirkan lagi. Memandangkan masing-masing terikat dengan komitmen kerja, kami tak boleh pergi jauh dan kena tengok juga kesesuaian masa.

“Selepas ini, kami akan pulang ke kampung dan kemungkinan besar juga akan mencuri sedikit masa untuk bercuti,” kata Nad.

Menyentuh soal perancangan keluarga, Nad tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan cahaya mata.

“Anak adalah rezeki dan anugerah terindah bagi pasangan yang berumah tangga. Seperti wanita lain, saya juga mahukan zuriat, tetapi buat masa ini saya mahu nikmati masa bersama suami dulu.

“Mungkin selepas setahun kami akan fikirkan soal anak. Pun begitu andai rezeki datang awal kami tidak menolak,” katanya yang mengikat tali pertunangan dengan Faliq pada 31 Ogos lalu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");