PONTIAN: Polis menahan 36 individu termasuk sepasang kekasih yang disyaki terlibat penyalahgunaan dadah dalam ladang kelapa sawit di tiga lokasi berbeza menerusi serbuan Ops Sarang, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Jokhiri Abdul Aziz berkata, serbuan yang dijalankan pada kira-kira jam 4 pagi di tiga lokasi iaitu Kampung Mahkota, Pontian Besar dan Ayer Baloi itu berjaya menahan suspek berusia 24 hingga 59 tahun.
Menurutnya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyerbu lokasi tersebut yang dipercayai menjadi lubuk penagih dadah tegar di daerah ini.
“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek baru sahaja hendak bergerak ke tempat berkenaan. Bagaimanapun, polis telah menunggu lebih awal di lokasi menyebabkan semua suspek tidak dapat meloloskan diri.
“Kami percaya, aktiviti di situ bermula antara jam 8 hingga 10 pagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jokhiri berkata, polis turut menangkap sepasang kekasih yang dipercayai menjadi tokan dadah.
Jelasnya, pasangan kekasih berusia lingkungan 30an itu, baru hendak menjual dadah jenis heroin di kawasan Taman Mahkota.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, heroin seberat kira-kira 18.79 gram ditemui dan kedua-dua mereka direman tujuh hari sebelum didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang positif dadah direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
“Turut dirampas, heroin seberat 185.86 gram dan syabu, 0.71 gram serta wang tunai RM3,000.
“Polis akan giatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.
-Sinar Harian