Panasnya Hari Ini

PAU 2015: Perwakilan Desak Kepimpinan Henti Berkelahi

KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menasihati kepimpinan UMNO supaya menghentikan sebarang perkelahian yang berlaku kerana ianya hanya tindakan yang akan merugikan parti.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 hari ini.

“Kalau dok (masih) berkelahi lagi, kami yang kat bawah ambil alih yang kat atas,” katanya.

Nasihat itu juga ditujukan kepada barisan kepimpinan UMNO yang kini dilihat tidak sependapat dalam pelbagai perkara.

“Kami yang di bawah ini hendak bagi nasihat yang di atas, ini bukan main-main. Kalau tidak boleh buat, dok (masih) berkelahi lagi, kami yang kat bawah ini ambil alih (menggantikan) yang kat atas (kepimpinan) ini,” tegas Musa.

Kenyataan itu turut disokong oleh majoriti perwakilan yang hadir dan mereka turut sama berdiri menyatakan sokong tersebut.

Beliau turut menasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menghentikan serangan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami merayu pada Tun (Mahathir) sungguh-sungguh. Hentikanlah ‘roadshow’, hentikanlah apa saja yang nak bercakap tentang keburukan UMNO. Duduk diam-diam. Kalau geram sangat. Tak payah (tidak perlu) cakap, sebab kami sayang dekat Tun.

“Kami tak mahu aibkan Tun. Nyamuk ketip (gigit) Tun pun kami tampar nyamuk sampai hancur. Tun pun kena adil dengan kami. Jangan kata (mengkritik) dekat kami, kata (mengkritik) dekat Presiden sama macam kata kami. Hina Presiden kami, sama (seperti) hina kami. Kalau ada masalah dengan Presiden, pi (pergi) dalam bilik bertumbuklah dia orang (mereka) di dalam. Jangan bagi bengkak muka sudah,” katanya.

Turut dibahaskannya berkenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditegaskannya perlu diatasi dengan bijak iaitu mengenai kenyataan, pandangan dan saranan oleh menteri kepada rakyat.

“Dulu Datuk kata ada GST harga barang turun, Tapi macam mana harga barang naik pula?

“Ini dia kata dekat kita, harga ayam naik jangan makan ayam, harga ikan naik jangan makan ikan, harga ketam naik jangan makan ketam, harga udang naik jangan makan udang. Yang dok makan hak depa yang makan kat atas (Ahli Majlis Tertinggi) ni sahaja.

“Kita (pula) dia (Menteri) suruh makan apa? Nasi dengan toyu (kicap),” tegas Musa yang melahirkan kekecewaan beliau.

Musa menggesa supaya Menteri bertanggungjawab tampil membuat kenyataan yang munasabah agar ia tidak memburukkan nama parti dan Kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");