Membawang Hari Ini

Pelagak ngeri kini penerbit filem

BAKAT figura ini sangat luas dalam bidang lakonan terutamanya sebagai pelakon belakang tabir.

Bermula sebagai ‘penjahat’ kemudian beralih kepada pelakon aksi lagak ngeri menjadikan Yank Kassim adalah antara pilihan produksi untuk membawa karakter ganas.

Malah, tidak kurang juga menggelarnya sebagai ‘Sammo Hung Malaysia’ kerana kelincahan dan ketangkasannya beraksi meskipun berbadan besar.

Bahkan, Yank Kassim juga menubuhkan sebuah kelab yang diberi nama Kelab Yank Stunt sebagai usaha menjadikan kerjaya lagak ngeri sebagai satu profesion yang glamor.

Kini, artis berusia 48 tahun ini mengorak langkah ke hadapan selaku penerbit apabila bakal mengeluarkan filem klasik, The Gold Coin di bawah syarikat produksinya, Wollywood Productions yang beroperasi di Melaka.

Sehubungan itu, Zass mendapatkan Yank Kassim atau nama sebenarnya, Yusuf Mohamed Kassim bagi berkongsi lebih lanjut mengenai hala tujunya dalam industri seni tanah air.

Tahniah di atas penubuhan syarikat produksi anda. Boleh ceritakan serba sedikit mengenai penubuhan Wollywood Productions?

Terima Kasih. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menubuhkan syarikat produksi sendiri selepas sekian lama. Ini adalah cita-cita saya. Ia boleh diibaratkan sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Pelabur utama untuk setiap projek bagi produksi ini adalah Media Anugerah Qib Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pengiran Mazlan Pengiran Che Ani. Pada masa sama, saya juga mendapat sokongan pelabur dari Sabah dan Brunei.

Saya memilih untuk membuka pejabat produksi ini di Melaka kerana kebanyakan pelabur berada di sana sama-sama berhasrat memajukan lagi negeri itu. Tambahan pula, saya amat memahami selok-belok dunia penerbitan drama dan filem apatah lagi selepas 21 tahun bergelumang dalam dunia seni, Alhamdulillah, saya bertuah kerana syarikat produksi ini mendapat kepercayaan pelabur untuk melabur dalam setiap produk keluaran saya terutamanya filem.

Malah, sebenarnya saya bukanlah terus menjadi pelakon, sebaliknya terlebih dahulu bekerja di belakang tabir. Daripada budak pembancuh kopi dan tukang angkat barang, saya kemudiannya diberi pelbagai kerja lain sehinggalah diberi kepercayaan menjadi penolong pengarah.

Boleh ceritakan mengenai projek pertama anda, filem The Gold Coin?

Sebagai memperkenalkan produksi kepada peminat filem tempatan, saya akan bekerjasama dengan satu lagi syarikat penerbitan baru, Major Axis Sdn Bhd bagi menerbitkan filem sulung, The Gold Coin. Kami memperuntukkan RM3 juta bagi menghasilkan filem ini sementelahan lagi ia menggunakan teknik penerapan teknologi komputer grafik (CGI) bagi memastikan filem bergenre thriller klasik moden lebih realistik.

Elemen CGI sangat penting dalam memastikan filem ini berjaya. Sebagai sebuah filem epik atau klasik, pastinya ia memerlukan kemahiran daripada aspek grafik komputer yang terbaik. Jadi, kami yakin dan berani mengeluarkan bajet besar demi menjayakan rancangan ini supaya penerbitan tidak nampak seperti melepaskan batok di tangga.

Pada mulanya, kami mengakui memang sangat risau kerana elemen CGI kos tinggi. Tetapi, pada masa sama, kami turut digalakkan oleh beberapa penaja kami.

The Gold Coin berkisar kisah misteri sebuah peluru dan duit syiling emas peninggalan pahlawan terbilang zaman dahulu iaitu Panglima Garang. Cerita bermula di sebuah tapak projek apabila kerja-kerja penggalian tanah menemukan tengkorak dan tulang manusia purba. Ketika mereka sedang membuat pemindahan tulang dan rangka itu, secara tiba-tiba terjatuh dua benda daripada tulang rangka tersebut.

Karya arahan dua sutradara MP Roslin dan Amith Abidin ini bakal menampilkan pelakon seperti Fattah Amin, Yuzz dan Raja Ilya, sementara pelakon cilik yang mula meningkat naik, Zarin Razi diberi peranan sebagai teraju utama.

Nama-nama lain yang turut menjayakan filem ini ialah Redzuan Hashim Ben Kanobi, Zuraini Kassim, Shahrul Asikin, Keena Mentor dan Ayuna. Dijangka memulakan penggambaran sekitar Februari 2016, The Gold Coin akan berlatarbelakangkan pemandangan sekitar Lembah Klang, Muar, dan Melaka.

Kenapa memilih konsep filem klasik?

Pada hari ini, kebanyakan penerbit hanya mempertaruhkan filem bergenre cinta dan aksi, manakala filem epik atau pengembaraan kurang mendapat tempat di hati. Bertitik tolak daripada itu, kami mengambil langkah berani dengan menerbitkan filem ini dan menjamin The Gold Coin adalah lain daripada filem Melayu sebelum ini.

Kepercayaan terhadap penerimaan penonton kepada filem bergenre suspen (thriller) klasik moden bukan hanya melalui kajian yang dilakukan, sebaliknya filem bergenre ini lebih bersifat universal.

Ceritakan sedikit mengenai pembabitan anda dalam bidang seni?

Saya memulakan karier sebagai pelakon pada 1989. Pada 1994 pula, saya membuat kemunculan menerusi filem Sembilu. Ketika itu, saya menimba pengalaman awal sebagai pelakon tambahan, namun itu sudah memadai untuk mencuba nasib menjadi pelakon. Demi minat yang mendalam, bermula pada 1995, saya kemudiannya menceburkan diri sebagai pelakon lagak ngeri, malah turut bertindak sebagai penyelaras lagak ngeri atau stunt coordinator.

Sepanjang berlakon, saya mempelajari sesuatu iaitu tidak boleh membayangi atau overshadow pelakon utama. Apabila tawaran berlakon sudah banyak dan ada duit sedikit, saya belajar ilmu stunt man di Australia dan berbekalkan apa yang dipelajari di sana, saya menubuhkan kumpulan kecil pelakon lagak ngeri yang akhirnya berkembang menjadi tiga hingga empat kumpulan.

Dua tahun lalu. saya menubuhkan Kelab Yank Stunt yang kini ada 23 orang yang benar-benar aktif dalam bidang lakonan. Selain saya sebagai tenaga pengajar, saya turut dibantu Master Shahrul dan Master Lan Muar. Bahkan, menerusi bidang ini juga telah membawa saya ke peringkat antarabangsa melalui lakonan dan lagak ngeri dalam filem Hollywood, Anna and The King, Skyline Cruiser di Hong Kong, filem Hindustan atau Bollywood, Don dan filem India Selatan atau Kollywood, 1977 – The History Re-Written.

Apakah cabaran anda sebagai seorang pelakon lagak ngeri?

Walaupun mengalami pelbagai kecederaan termasuk sehingga boleh meragut nyawa, namun saya masih tidak berputus asa dalam meneruskan kerjaya yang tidak semua orang mampu melakukannya. Apa yang penting dalam kerjaya ini adalah aspek keselamatan, disiplin dan teknik dalaman serta luaran.

Jika saya gagal mematuhi aspek-aspek ini ia mungkin akan menyebabkan kemalangan yang boleh meragut nyawa. Menerusi filem Hollywood, Anna and The King, hampir keseluruhan tubuh saya mengalami kecederaan. Kalau hendak diceritakan, memang terlalu banyak kecederaan dan parut pada tubuh saya akibat daripada pekerjaan ini. Tetapi saya seronok dan mendapat kepuasan apabila dapat melakukan aksi lagak ngeri.

Harapan?

Jika sebelum ini saya berjaya mengangkat nama ‘penjahat’, saya juga mahu menaikkan nama pelagak ngeri tempatan. Sebagai penerbit filem tempatan pula, saya merancang untuk bekerjasama dengan persatuan perfileman yang ada di negara ini bagi membangunkan lagi industri perfileman negara. Kami mahu membawa filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, selain menerbitkan filem, kami juga akan mengadakan sesi uji bakat mencungkil bakat-bakat baru kepada sesiapa yang berminat bagi memenuhi keperluan filem Wollywood Production pada masa akan datang.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");