Sukan Hari Ini

Pelayar negara bermula baik

LANGKAWI – Dua pelayar remaja negara mencatat prestasi membanggakan pada hari pertama Kejohanan Pelayaran Remaja Dunia (ISAFYWC) 2015 di Langkawi, semalam.

Asri Azman menunjukkan keputusan paling membanggakan apabila menamatkan perlumbaan kategori Laser Radial Lelaki di tangga ke-11 daripada 65 peserta yang bertanding.

Nur Shazrin Mohamad Latif pula menduduki tangga ke 18 daripada 49 peserta yang bertanding dalam kategori Laser Radial Perempuan.

Jurulatih Laser Radial negara, Norhisham Mat Nor berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan kedua-dua anak buahnya itu.

Pun begitu, katanya, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh kedua-dua pelayar remaja negara itu bagi memperbaiki kedudukan mereka, sekali gus membawa kejayaan kepada kontinjen negara.

“Saya yakin dan percaya Asri dan Nur Shazrin sebenarnya mampu melakukan lebih baik daripada apa yang mereka kecapi pada hari ini.

“Namun, kejohanan ini baru bermula dan saya percaya kedua-dua mereka mampu untuk memperbaiki kedudukan mereka kepada yang lebih baik seterusnya menjadi antara pelayar terbaik pada kejohanan ini,” Katanya.

Sementara itu, Nur Shazrin berkata, dia optimis untuk memperbaiki kedudukannya dan mensasarkan untuk menamatkan kejohanan pada kedudukan lima terbaik.

“Apa pun, saya akan berusaha yang terbaik untuk membawa kejayaan untuk kontinjen negara pada kejohanan kali ini,” ujarnya.

ISAFYWC 2015 membuka tirainya semalam dan akan berakhir pada 3 Januari 2016.
Ini merupakan kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan berprestij ini sejak 45 tahun ia diperkenalkan.

Tahun lalu, ia dianjurkan di Portugal, manakala pada tahun hadapan pula Oman telah di­pilih sebagai negara tuan rumah.

Malaysia menerima penyertaan terbesar apabila 76 negara dengan 424 pelayar menyertai kejohanan itu pada tahun ini.
– utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");