Sukan Hari Ini

Pemain ‘dirantai’

Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan pemain Harimau Muda pulang ke negeri asal bagaikan memakan diri sendiri apabila menghadapi kesukaran untuk memanggil semula pemain berkenaan bagi sesi pemilihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 pada 4 hingga 8 Januari ini.

Sejumlah 39 pemain dipanggil bagi sesi pertama jurulatih baru Frank Bernhardt dengan sembilan daripadanya bekas pemain Harimau Muda B manakala bakinya pemain Harimau Muda C.

Namun, menurut sumber rapat FAM, perancangan pengendali dari Jerman itu untuk memilih pemain dan kemudian membentuk pasukan untuk dikekalkan bersama dalam tempoh lama boleh mengundang masalah berikutan ramai pemain Harimau Muda sudah menandatangani kontrak baru dengan pasukan negeri masing-masing.

“Pemain Harimau Muda tamat kontrak 31 Disember (hari ini) dan ada antara mereka sudah menyertai pasukan negeri masing-masing, jadi mungkin mereka kurang bersemangat untuk pergi ke ujian pemilihan itu nanti.

“Mereka sudah mengikat kontrak dengan pasukan baru jadi ia boleh menimbulkan masalah jika FAM mahu mengambil semula pemain ini.

“Adalah lebih baik FAM mengadakan sesi pemilihan ini lebih awal sebelum kontrak pemain Harimau Muda itu tamat. Sekarang FAM tidak boleh halang mereka menandatangani kontrak dengan pasukan lain,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Cadangan Jawatankuasa Bertindak Khas FAM untuk membubarkan pasukan Harimau Muda diterima Exco FAM pada November lalu menyaksikan semua pemain Harimau Muda B dan C kembali semula ke negeri masing-masing.

Namun, FAM bersetuju mewujudkan Skuad Projek Sukan SEA 2017 yang besar kemungkinan membabitkan pemain bawah 22 tahun mengikut cadangan baru Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Sebelum ini acara bola sepak di temasya Sukan SEA disertai pemain bawah 23 tahun.

Skuad Projek Sukan SEA ini dicadangkan untuk menyertai Liga FAM namun dengan ikatan kontrak pemain bersama pasukan negeri pasti sukar untuk mereka dilepaskan bagi tempoh lama.

“Kalau ikut perancangan, pemain yang dipilih bakal dikekalkan dalam satu pasukan dengan menyertai mana-mana kejohanan tapi perlu ada perbincangan semula antara FAM dengan pasukan negeri selepas ini,” jelas sumber itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");