Sukan Hari Ini

Penyokong Selangor optimis badi berakhir

Shah Alam: Penyokong skuad Merah Kuning meletakkan harapan tinggi supaya badi separuh akhir mampu ditamatkan malam ini, sekali gus mara ke final untuk memburu gelaran juara Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2005.

Malah penyokong yakin anak buah Mehmet Durakovic mampu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mara ke pentas akhir pertandingan berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2008.

Seorang penyokong Selangor, Kamarul Nizam Nordin, 37, berkata tiada istilah mustahil dalam bola sepak, kerana segalanya sukar dijangka.

“Di atas kertas, Selangor mungkin kurang menyerlah terutama selepas gagal membawa pulang bekalan selesa ketika bertandang ke Stadium Darul Makmur, Rabu lalu.

“Namun, kami yakin skuad Merah Kuning mampu beraksi dengan lebih baik sekiranya mengekalkan corak permainan yang lebih konsisten,” katanya ketika ditemui di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, bagi penyokong Pahang, Mohd Raza Abdul Razak, 43, berkata dua rekod pertemuan musim ini yang memihak kepada Pahang pada aksi Liga Super diharap dapat diulangi malam ini.

“Tidak dinafikan skuad Tok Gajah kurang bernasib baik ketika beraksi di laman sendiri pada pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia yang lalu meskipun beraksi dengan baik.

“Diharap malam ini, skuad kendalian Zainal Abidin mampu melakar sejarah di tempat lawan sekurang-kurangnya dua gol, untuk mencatat hatrik kemenangan Piala Malaysia selepas kami berjaya menjulangnya pada tahun 2013 dan 2014,” katanya.

Ditanya mengenai faktor keselamatan di Stadium Shah Alam yang mungkin mengundang rasa kurang senang penyokong skuad Tok Gajah malam ini, Mohd Raza berkata, mereka yakin situasi perlawanan malam ini terkawal terutama dengan kehadiran 1,000 anggota polis yang akan bertugas untuk mengawal trafik dan keselamatan.-BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");