Berita Hari Ini

Peraih tiada kuasa tentukan harga getah

PADANG RENGAS – Nasib penoreh getah di negara ini seakan dipinggirkan kerana sehingga kini harganya masih rendah dan menyebabkan ramai penoreh terpaksa ikat perut.

Situasi itu mungkin tidak memberi kesan kepada orang lain namun beban yang ditanggung mereka amat berat apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Kesusahan dihadapi penoreh turut dirasai peraih namun malangnya tiada apa mampu mereka lakukan memandangkan peraih bukanlah orang yang menentukan harga getah.

Bagi seorang peraih yang enggan dikenali, dia kasihan melihat penoreh mengalami kesempitan hidup disebabkan harga getah yang semakin rendah.

Menurutnya, harga sekilogram getah di Kuala Kangsar kini hanya RM 1.80 dan tidak cukup untuk menyara keluarga.

“Kalau penoreh ada tanah sendiri, mungkin itu cukup bagi mereka kerana mereka dapat wang penuh namun bagaimana pula dengan nasib mereka yang menoreh di tanah orang?

“Bila menoreh di tanah orang lain, wang perlu dibahagi dua dengan pemilik tanah. Jadi, untuk satu kilogram, penoreh akan mendapat 90 sen sahaja. Wang sebanyak itu, mahu minum Teh Tarik pun tak lepas,” katanya.

Peraih itu berkata, dia sedih melihat nasib penoreh seakan-akan tidak dipedulikan kerana sudah agak lama harga getah berada pada paras yang rendah.

Katanya, kadangkala penoreh datang kepadanya untuk meminjam wang dan tanpa banyak soal, akan membantu kerana faham kesulitan dihadapi mereka.

“Biasanya, mereka tiada masalah untuk membayar semula hutang-hutang tersebut. Itu menunjukkan mereka benar-benar terdesak semasa mahu meminjam wang.

“Kerajaan perlu melihat dan merasai sendiri nasib penoreh getah. Mungkin mereka tidak bersuara tetapi percayalah, hidup mereka sangat-sangat tersepit sekarang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");