Panasnya Hari Ini
Like

Perlu Atau Tidak Beri Laluan Kepada Kenderaan VIP?

December 18, 2015
738 Views
0 Comments
3 minutes read
Perlu Atau Tidak Beri Laluan Kepada Kenderaan VIP?

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini catatan seorang individu telah menjadi viral di laman sosial apabila beliau tampil mempersoalkan kewajaran dan sama ada perlu bagi pengguna jalan raya memberikan ruang kepada konvoi  individu kenamaan atau ‘VIP’ .

Memetik sumber penulisan daripada The News Straits Times dan olahan laman blog Paul Tan’s Automotive,  pakar undang-undang Datuk Jahaberdeen Mohamad Yunos, menyatakan bahawa tindakan itu adalah tidak perlu.

Ujarnya, ini adalah kerana tidak ada undang-undang memperuntukkan supaya perlu memberikan laluan kepada konvoi VIP apabila di jalan raya.

Bagaimanapun, setiap keadaan katanya perlu diteliti berdasarkan situasi yang tertentu.

“Kita perlu meneliti situasinya bagi membolehkan tindakan diambil.

“Jika VIP berkenaan ingin menghadiri mesyuarat rasmi dan terdapat pemandu yang menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya, maka ya, dia (pemandu) boleh secara paksa diminta untuk bergerak.

“Tetapi jika VIP yang menggunakan jalan itu atas sifat peribadinya, maka pemandu lain tidak diperlukan untuk bergerak dan memberi laluan kepadanya,” memetik sumber laporan The News Straits Times itu lagi.

Pada 15 Disember lalu, menerusi catatan pengguna jalan raya tersebut mendakwa bahawa semasa sedang memandu di jalan raya, beberapa pengiring Polis yang menaiki motosikal telah mengarahkan pemilik kenderaan yang melalui jalan tersebut memberi laluan kepada sebuah kereta yang membawa individu kenamaan.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya pada ketika itu enggan memberi laluan, begitu juga dengan kereta di hadapannya ketika itu.

Tindakan itu katanya sebagai memperjuangkan hak-hak sebagai rakyat Malaysia dan tindakan itu juga bukannya bertindak untuk memarahi pegawai-pegawai Polis berkenaan berikutan mereka sekadar menjalankan tugas yang diarahkan.

Individu itu juga memberi saranan supaya mempratikkan dan mengamalkan kenyataan serta nasihat yang diberi kepada rakyat.

Antara yang dicadangkan adalah seperti bertolak lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pada awal November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman mencadangan  kepada pengguna jalan raya supaya mempraktikan amalan itu sebagai satu cara berikutan isu kenaikan tol baru-baru ini selain daripada menggunakan jalan bebas tol.

Persoalan tersebut turut diajukan kepada Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, adakah sebarang tindakan akan diambil terhadap pengguna jalan raya berkenaan mengenai catatan beliau di laman sosial tersebut.

Katanya, beliau perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang ulasan berkenaannya.

Sebagai rakyat Malaysia pandangan anda mengenai perkara ini.

Adakah anda bersetuju dengan tindakan pengguna jalan raya tersebut dan adakah amalan enggan memberi laluan memperlihatkan satu pandangan yang tidak baik?

Komen & Pendapat

Leave a Reply