Sukan Hari Ini

Platini ikrar lawan hukuman di mahkamah

LONDON – Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini semalam berikrar akan ke mahkamah untuk melawan keputusan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menggantungnya selama lapan tahun, dan menyifatkan hukuman itu sebagai “benar-benar topeng”.

Platini dan bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter yang turut membuat rayuan selepas mereka digantung dan didenda setelah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Etika bebas FIFA kerana menyalahgunakan jawatan berkaitan pembayaran dua juta Swiss franc (RM8.64 juta) yang dibuat oleh FIFA kepada Platini pada 2011, iaitu sewaktu Blatter sedang berusaha untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan.

Sebelum dia digantung pada Oktober, Platini merupakan calon ke­gemaran untuk menggantikan Blatter sebagai presiden FIFA dalam pemilihan pada Februari depan.

“Keputusan itu tidak mengejutkan saya: prosedur dilakukan ke atas saya oleh Jawatankuasa Etika FIFA adalah benar-benar topeng. (Keputusan) itu adalah bertujuan mencemarkan nama baik saya oleh sebuah badan sukan yang saya sa­ngat kenali dan pada saya tiada kredibiliti serta kelayakan,” kata Platini.

Platini menambah, suara hati­nya yakin, dan dia akan mencabar keputusan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan dan akhirnya menuntut ganti rugi di mahkamah sivil.

Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) pula kekal menyokong Platini apabila Presiden FFF, Noel Le Graet berkata dia sedih dan terkejut de­ngan penggantungan bekas pemain tengah Perancis itu.

“Dia akan terus lawan. Dia mendedikasikan hidupnya kepada bola sepak. Dia telah melakukan banyak perkara hebat untuk UEFA dan saya harap budinya akan mendapat pengiktirafan.

“Sukar untuk mempercayainya, namun tidak menghairankan saya. Seorang jurucakap Jawatankuasa Etika (Andreas Bantel) telah lebih dahulu membuat pengumuman bahawa Michel boleh digantung selama beberapa tahun,” katanya.

Bagaimanapun dia tidak mendapat sokongan Ketua Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), Greg Dyke yang sebelum ini menyokong Platini untuk menjadi presiden FIFA selepas Blatter mengumumkan untuk meletak jawatan.

Dyke berkata dia berasa penggantungan tersebut akan menjadi penamat kepada cita-cita bekas pemain kebangsaan Perancis itu.

“Sebelum ini kami menyokong Platini, kami fikir dia telah me­laksanakan tugasnya dengan baik bersama UEFA, dan kami sangat kecewa apabila berlaku seperti ini. Kami tidak tahu,” kata Dyke kepada stesen radio BBC. – REUTERS/utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");