Berita Hari Ini

PT3 bukan sekadar peperiksaan

PENTAKSIRAN Tingkatan 3 (PT3) merupakan salah satu dari empat komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir peringkat akhir untuk menilai pencapaian akademik dan bukan akademik mereka di pe¬ringkat menengah rendah iaitu di tingkatan 3.

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datin Nawal Salleh berkata, sejak PT3 dilaksanakan pada tahun lalu beberapa perkara yang dibangkitkan atau timbul hanya kerana kekurangan maklumat tepat serta kefahaman berkenaan PT3 sendiri.

Menurutnya, keputusan PT3 yang soalannya disediakan berasaskan sukatan pelajaran tingkatan satu, dua dan tiga turut merangkumi tiga komponen lain iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“PT3 adalah berbeza dengan PMR di mana ia adalah komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.

“PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan,” katanya.

Ujarnya lagi, bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), pan¬duan penskoran dan menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan dilakukan oleh pentadbiran sekolah.

“Memang benar sistem peperik¬saan berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi intelek atau pencapaian akademik namun hasrat sistem pentaksiran kini adalah lebih dari hanya memberi penekanan dan melaporkan pencapaian akademik murid .

“Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas di mana kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin dengan potensi diri,” katanya.

Beliau berkata, perubahan tersebut perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

PPsi bantu kesan kecenderungan pelajar

Nawal berkata, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) telah dipertanggungjawabkan selaku pemegang kustodian PPsi untuk melaksanakan pentaksiran Psikometrik di semua sekolah.

“Ia merupakan satu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi iaitu aptitud dan personaliti pelajar yang difokus mengukur kebolehan semula jadi dan kebolah yang boleh dicapai.

“Ia juga liputi Ujian Inventori Minat Kerjaya (IMK) yang mempunyai takrifannya berdasarkan enam kod mata Holland iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional,” katanya.

Menurutnya, Inventori Tret Personaliti (ITP) pula memperjelaskan 15 tret personaliti seperti autonomi, kreatif, agresif, ektrovert, pencapaian dan banyak lagi.

“Selain IMK, pelajar tingkatan 3 juga perlu menjalani ujian Aptitud Khusus untuk Inventori Kecerdasan Murid (IKP) yang mempunyai sembilan konstruk dari aspek linguistik, logik matematik, visual ruang, muzik, naturalis, intrapersonal, interpersonal, kinestetik dan eksistensial.

“Bagi PPsi murid sekolah rendah pula adalah Ujian Aptitud Am Tahun 3 dan 6 yang menguji konstruk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan semua skor yang diperoleh melalui taksiran yang dilakukan ke atas setiap murid, ia dapat membantu pihak sekolah memberi cadangan berkaitan aliran pendidikan ke tingkatan empat dan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kepentingan Pentaksiran Sekolah (PS) kepada semua pihak

Perlaksanaan PT3 mengandungi pelbagai kepentingan yang memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya pelajar, guru, pihak sekolah serta ibu bapa.

Dari sudut kepentingannya kepada murid, ia dapat bantu cungkil kekuatan yang ada pada diri mereka selain mempamer kelemahan dari aspek akademik dan personal skil yang seharusnya diperbaiki sejak awal usia.

Nawal berkata, murid juga dapat kukuhkan pembelajaran bagi capai tahap penguasaan yang lebih tinggi sekaligus menjadi harapan kepada pelapis tenaga mahir di negara ini.

“Sementara itu, ibu bapa pula dapat mengetahui perkembangan anak masing-masing secara menyeluruh di mana potensi, kekuatan dan kelemahan anak dapat dikesan dengan lebih jelas.

“Pencapaian anak mereka turut dapat dipantau sekaligus memainkan peranan untuk membantu anak-anak dalam pembelajaran berdasarkan maklumat pentaksiran yang dilakukan pihak sekolah,” katanya.

Jelasnya, guru dan sekolah juga dapat bantu membimbing pencapaian murid melalui taksiran yang dilakukan setiap hari sekaligus mengelak daripada masalah keciciran dari sudut akademik dan Kokurikulum murid.

“Pihak sekolah juga lebih mudah membuat perancangan program peningkatan murid dan memantau pelaksanaan tindakan susulan yang melancarkan lagi segala usaha untuk mencapai sasaran (kecemerlangan).

“Ia (PT3) bukanlah satu kelemahan sistem, tetapi ia perlu difahami sebaik mungkin oleh semua pihak bagi memastikan matlamat terhadap pencapaian murid di negara ini berjalan seperti dirancang dan mencapai kecemerlangan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");