Sukan Hari Ini

Rexy miliki magis: Boon Heong

Kuala Lumpur: Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Boon Heong mengakui Rexy Mainaky mampu mempertingkatkan kembali prestasi beregu lelaki negara andai kembali menyertai badan induk berkenaan.

Menurut pemain kelahiran Alor Setar itu, kalau boleh dia tidak mahu mengulas panjang mengenai hasrat bekas jurulatihnya itu kerana mahu fokus terhadap prestasi sendiri selain bukan lagi pemain di bawah naungan BAM, namun mengakui pengendali dari Indonesia itu mempunyai kemampuan tersendiri.

“Kalau beliau kembali ke Malaysia, sangat bagus untuk membantu pemain pelapis BAM. Bagaimanapun, saya tidak ada peluang untuk kembali semula ke sana. Jadi, saya hanya mahu mengucapkan selamat berjuang kepada pemain di sana,” katanya selepas beraksi di Purple League semalam.

Kelmarin, pengendali kelahiran Indonesia itu mengakui beliau mungkin kembali kepada BAM pada masa akan datang dengan badan induk berkenaan pernah menawarkan jawatan ketua jurulatih beregu kepadanya sebelum diberikan kepada Cheah Soon Kit.

“Saya rasa Rexy sangat sesuai untuk melatih skuad badminton Malaysia, kerana pemain kita sudah mempunyai kemahiran. Cuma sekarang ini kurang dari segi kekuatan mental serta tahap kecergasan.

“Corak latihan Rexy mampu meningkatkan permainan pemain beregu lelaki,” kata Boon Heong yang pernah berada di bawah bimbingan jurulatih berkenaan dengan pasangannya Koo Kien Keat.

Sementara itu, Boon Heong berasa lega kerana hasratnya untuk bergandingan dengan pemain beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan Lee Yong Dae tercapai apabila mereka membantu Kelab Badminton Muar City (Muar City BC) mengalahkan Kelab Badminton Nusajaya (Nusajaya BC) 12-2, semalam.

“Saya banyak belajar ketika bergandingan dengan Yong Dae terutama dari segi corak permainan dan mereka memang sangat mementingkan kecergasan dan pergerakan dalam gelanggang. Memang sangat gembira bergandingan dengannya,” katanya selepas menumpaskan gandingan Teo Kok Siang-Hoon Thien How 11-8, 11-3, 11-5, semalam.

Boon Heong-Kien Keat setakat ini berada di ranking ke-23 dunia dan bersaing dengan pasangan BAM Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk tempat ke Sukan Olimpik Rio 2016.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");