Sukan Hari Ini

Rezeki ‘Tevez’

Kuala Lumpur: Pengarah Japan Dream Football Association Masao Kiba menganggap pemain muda negara Mohamad Khussaini Adli Mohd Yusof memiliki prospek besar untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.

Bekas kapten kelab Jepun Gomba Osaka itu melihat aksi Khussaini di Kejohanan ASEAN Dream Bawah 14 di Bangkok minggu lalu yang menyaksikannya meledak 12 gol untuk muncul penjaring terbanyak.

Kehebatan Khussaini mendorong Kiba untuk melabelnya sebagai ‘Tevez Malaysia’.

“Dalam tempoh lima minit saja saya sudah dapat melihat kemampuannya sebagai pemain bola sepak yang bagus. Titik keseimbangan badannya rendah, memiliki kelebihan dari segi teknik serta sentuhan penyudah lengkap sebagai penyerang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Bagaimanapun, Khussaini yang berasal dari Taiping, Perak hanya dapat membantu skuad B-14 negara kendalian Richard Scully menamatkan kempen di Kejohanan ASEAN Dream itu di tangga kelima.

Namun prestasinya membolehkan dia ditawarkan menjalani latihan di Akademi kelab utama Jepun Yokohama F Marinos selama seminggu pada Mei tahun depan bersama pemain paling bernilai kejohanan itu dari kelab Thailand BEC Tero Sasana Guntapon Keereeleang.

Kiba antara individu yang membantu perpindahan Wan Zack Haikal Wan Noor ke kelab divisyen tiga Jepun FC Ryukyu pada 2013, percaya latihan singkat di Yokohama F Marinos boleh membuka langkah baru buat Khussaini.

“Ia bukan percubaan tapi hanya latihan untuk Khussaini di akademi itu. Latihan itu sebagai bonus buat mereka yang cemerlang di kejohanan ini.

“Untuk berlatih secara tetap bukan mudah apatah lagi dengan peraturan FIFA (badan induk bolasepak antarabangsa) bagi had umur di akademi.

“Tapi ini peluang terbaik untuk dia merasai suasana latihan baru dan jika penilaiannya bagus, kami akan cuba buka ruang untuknya terus mendapat pendedahan,” katanya yang juga Duta Kejohanan ASEAN Dream.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");