Berita Hari Ini

RUU MKN ‘rampas’ kuasa Agong

SELAYANG – Parti Amanah Negara (Amanah) semalam melancarkan gerakan menentang Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang diluluskan kerajaan melalui Dewan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir berkata, tindakan berkenaan disifatkan sebagai satu ‘rampasan kuasa’ milik mutlak Yang di-Pertuan Agong oleh kerajaan BN melalui Perdana Menteri sendiri.

Menurutnya, rang undang-undang itu jelas melanggar Artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan peruntukan berkaitan suasana luar biasa yang memerlukan satu penyelesaian drastik seperti wujudnya ancaman keselamatan negara dan darurat.

“Amanah memandang serius hal ini terutamanya yang dinyatakan dalam Seksyen 3 dalam RUU MKN dipengerusikan oleh PM perlu menjadi pihak berkuasa pusat bagi membuat pertimbangan perkara berkenaan keselamatan negara.

“Bukankah itu sudah melanggar dan merampas kuasa yang telah dirizabkan kepada Agong sahaja? Sekarang nak peruntukkan PM sebagai pemutus tunggal bagi sesuatu situasi atau kawasan yang dirasa bahaya atau mendatangkan gangguan keselamatan (kawasan keselamatan) pula,” katanya ketika sidang media di Wisma Amanah, di sini.

Menurutnya, kuasa-kuasa drakonian juga dilihat bakal timbul dari ‘kawasan keselamatan’ melalui Bahagian 5 RUU MKN meliputi Seksyen 22 hingga 36 selain nasib bakal menimpa pegawai-pegawai keselamatan seperti polis dan tentera yang akan menjadi pihak menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

“Lihat sahaja Seksyen 35 RUU yang memberi kuasa kepada Majistret untuk tidak memerintahkan inkues diadakan kepada mana-mana pegawai keselamatan yang terbunuh, sedangkan mungkin wujud sebab-sebab kematian meragukan dan memerlukan pembelaan sewajarnya ke atas mereka.

“Secara jelasnya, Amanah melihat RUU MKN dikhuatiri mempunyai ‘niat terselindung’, tiada alasan kukuh atau relevan untuk ia diwujudkan, malah ahli Dewan hanya diberi dua hari untuk membahasnya.. dan tiba-tiba ia diluluskan begitu sahaja walau banyak persoalan yang tidak dirungkaikan PM sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Amanah melalui sayap pemudanya akan membuat laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara mulai hari ini sebagai langkah awal penentangan terhadap RUU MKN 2015 .

RUU MKN 2015 diluluskan kerajaan melalui Dewan Rakyat, Khamis lalu sekaligus menimbulkan perbahasan dan pertikaian sebelum pelaksanaannya diwartakan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");