Sukan Hari Ini

‘Sengaja diam’

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai masa depan Andik Vermansyah bersama Selangor akhirnya terjawab apabila pemain itu mengesahkan sudah menyambung kontrak bagi tempoh semusim lagi bersama juara Piala Malaysia 2015 itu.

Andik, 24, yang menyertai Red Giants sejak dua musim lalu, memberitahu Arena Metro, dia menandatangani kontrak baru sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, sekali gus menamatkan spekulasi dia akan meninggalkan pasukan itu.

“Media ada melaporkan baru-baru ini final Piala Malaysia adalah perlawanan terakhir saya bersama Selangor. Tapi saya sengaja mendiamkan diri walaupun ketika itu sudah menandatangani kontrak baru. Ini kerana saya mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Kedah itu.

“Beberapa bulan lalu, ada juga laporan mengatakan saya akan meninggalkan Selangor dan berhijrah ke Jepun. Ia sebenarnya sekadar spekulasi yang tidak perlu saya jelaskan. Apatah lagi ketika itu kontrak saya bersama Selangor masih ada.

“Tapi sekarang saya boleh sahkan sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama Selangor selama semusim lagi. Saya harap penjelasan ini akan menamatkan sebarang khabar angin atau spekulasi,” kata Andik.

Menurut Andik, penyelesaian isu kontraknya bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu juga membolehkan dia memberi tumpuan untuk menghadapi musim depan yang pasti lebih mencabar.

Red Giants bukan saja akan mempertahankan Piala Malaysia malah akan bersaing di peringkat Asia pada pertandingan Piala AFC.

“Saya gembira apabila ditawarkan sambungan kontrak kerana selama dua musim bersama Selangor, saya berasa sangat selesa dan seronok. Ia pasukan yang hebat, penuh tradisi dan mampu mencipta lebih banyak kejayaan.

“Walaupun sebelum ini saya menyimpan cita-cita untuk bermain di Eropah, namun saya fikir menyertai Selangor juga satu pilihan yang tepat. Apatah lagi musim depan kami akan dapat beraksi di Asia,” ujar Andik.

Andik yang digelar Lionel Messi Indonesia pernah ditawarkan menyertai pasukan pelapis DC United di Amerika Syarikat namun menolaknya. Dia juga pernah menyertai ujian bersama kelab Ventforet Kofu yang beraksi dalam Liga Jepun tapi gagal mendapat kontrak.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");