Sukan Hari Ini

Serap lapan pemain remaja: Van Huizen

Kuala Lumpur: Meskipun gagal memenuhi misi layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan, ketua jurulatih skuad hoki senior negara Stephen Van Huizen tetap memberi ruang kepada lapan pemain skuad Projek 2016 apabila memanggil mereka menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Lapan pemain itu Muhammad Firdaus Omar, Muhammad Amirul Aideed Mohd Arshad, Muhammad Sufi Ismat, Mohammad Ridzwan Azmi, Nik Muhammad Aiman Nir Rozemi, Muhammad Najmi Farizal, Nor Syafiq Sumantri serta kapten pasukan Muhammad Najib Abu Hassan.

Keputusan Van Huizen memanggil lapan pemain berkenaan menyaksikan senarai pelatih dalam kem latihan skuad negara kini mencecah 40 pemain berbanding 35 sebelum ini.

Terdahulu, tiga pemain digugurkan daripada senarai 35 pemain itu membabitkan penyerang kontroversi, Faizal Saari, Syamim Yusof serta Muhammad Noor Faez Ibrahim.

“Benar mereka gagal layak ke Piala Dunia Remaja. Tapi itu bukan bermakna mereka gagal secara keseluruhan.

“Peluang harus diberikan kepada pemain berkelayakan kerana mereka sememangnya mempunyai potensi besar,” kata Van Huizen ketika dihubungi semalam.

Berikutan peluang diberikan itu, Van Huizen mencabar lapan pemain berkenaan untuk cuba mendapat tempat dalam 18 pemain terakhir yang bakal mewakili negara ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, pada April depan.

“Semua itu terpulang kepada diri mereka sendiri. Jika mahu bersama skuad senior, mereka perlu meyakinkan barisan kejurulatihan.

“Untuk langkah pertama, mereka perlu merebut tempat dalam senarai 25 pemain terbaik sebelum dikurangkan kepada 18 pemain untuk ke Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.

Pada saingan Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang bulan lalu, skuad bimbingan Arul Selvaraj gagal memenuhi misi layak ke Piala Dunia Remaja selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");