Berita Hari Ini

Silap cetak peta Melaka, pencetak disenarai hitam

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sudah menyenarai hitam syarikat pencetak buku teks Sejarah Tahun Enam, yang membuat kesilapan cetakan mengenai kedudukan Melaka di peta Malaysia pada halaman buku berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Seri Khairil Awang, berkata penerbit yang menyumber luar syarikat pencetak berkenaan turut dikenakan tindakan, termasuk diberikan amaran.

Khairil berkata, buku teks berkenaan dan buku teks Bahasa Melayu Tahun Enam bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang turut dicetak semula akan diedarkan ke sekolah sebelum hujung Januari depan.

“Kos cetakan semula buku teks Sejarah Tahun Enam ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pencetak.

“Selain itu, buku teks lain yang keseluruhannya berjumlah 29.2 juta sudah pun diedarkan di sekolah seluruh negara untuk kegunaan pelajar sesi 2016, termasuk 18 juta buku rosak yang dicetak semula dan 11.2 juta buku teks baharu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kesilapan cetakan buku teks Sejarah itu, Khairil berkata, kesilapan itu berpunca daripada masalah teknikal mesin pencetak hingga menyebabkan kedudukan Melaka berada di bahagian pantai timur Semenanjung.

Mengenai buku teks Bahasa Melayu, beliau berkata, cetakan semula dilakukan selepas Kabinet bersetuju standard bahasa dalam buku berkenaan tidak diselaraskan antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJK.

Katanya, semua buku teks oleh Kementerian Pendidikan melalui proses penghasilan yang teliti dan memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bermula daripada penerimaan Dokumen Standard dan Pentaksiran (DSKP).

“Sebanyak empat peringkat terbabit dalam penghasilan buku teks, termasuk Pruf Muka Surat, Naskhah Sedia Kamera, Naskhah Contoh dan Naskhah Edar.

“Setiap peringkat berkenaan mempunyai panelnya tersendiri terdiri daripada beberapa pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");