Berita Hari Ini

SPRM, NACC Thailand bakal jalin kerjasama

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bakal bekerjasama dengan National Anticorruption Commision (NACC) Thailand bagi membendung gejala rasuah berkaitan kes pemerdagangan manusia.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, pihaknya telah pun mengadakan pertemuan pertama bersama NACC Wilayah Narathiwat bagi membincangkan kerjasama tersebut, Oktober lalu.

“Insya-ALLAH, saya akan ke sana Januari nanti dan semua butiran mengenai kerjasama tersebut akan dibincangkan pada masa itu. Kalau mereka setuju, maka kita mendapat impak yang baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perancangan SPRM Kelantan bagi mengekang kesalahan rasuah yang dilakukan penguat kuasa di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Aziz berkata, langkah kerjasama tersebut amat penting bagi kedua-dua negara untuk memastikan gejala tidak sihat tersebut dapat dikawal dan sekali gus dicegah daripada terus berlaku.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, statistik tahun ini menunjukkan sebanyak 14 peratus daripada 35 kes tangkapan adalah melibatkan kes penyeludupan iaitu beras, barangan ataupun kes pemerdagangan manusia.

“Kita akui masih tidak berpuas hati dengan jumlah ini, tetapi kita perlu bergantung kepada fakta dan bukti yang kita ada. Kita juga mempunyai kekangan dari segi maklumat.

“Walaupun kita mempunyai kepakaran sendiri untuk bertindak, tetapi bukan mudah untuk mereka bagi kerjasama kepada kita kerana soal keselamatan dan takut untuk hadir ke mahkamah.

“Itu di antara faktor kenapa masih kurang tangkapan berbanding apa yang diperkatakan orang ramai,” katanya.

Mengulas kerjasama yang dilakukan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di sempadan bagi mencegah aktiviti rasuah, Abdul Aziz juga memberitahu, ia masih lagi konsisten dan berjalan lancar.

Sementara itu, Abdul Aziz turut mengakui SPRM Kelantan memberi tumpuan terhadap isu rasuah yang membabitkan kes pembalakan di negeri ini.

Malah katanya, statistik menunjukkan daripada 35 tangkapan sepanjang tahun 2015 dibuat, 13 daripadanya membabitkan kes tersebut.

“Apabila saya diarahkan untuk berada di Kelantan, pengurusan tertinggi maklumkan berkenaan dengan kes sempadan dan balak.

“Maka saya tumpukan kepada perkara tersebut dan membuat 13 tangkapan tahun ini, berbanding tahun sebelumnya tiada tangkapan dilakukan.

“Secara keseluruhannya kami berjaya dengan strategi yang kita fokuskan untuk 2015 ini. (Bagaimanapun) saya sebagai penyiasat masih tidak berpuas hati tapi kita kena berpaksi kepada kekuatan yang ada,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");