Membawang Hari Ini

Star Wars: The Force Awakens sentuhan hebat J.J Abrams

BERPELUANG menyaksikan filem ini, penulis boleh sifatkan ia sebagai satu naskhah yang cukup hebat dan menepati konsep Star Wars yang cukup popular sejak berabad lalu.

Mengambil judul The Force Awakens, sentuhan pertama J.J Abrams ini boleh dianggap sebagai remake atau olahan semula filem asal Star Wars (1977) ciptaan George Lucas.

Lupakan tentang prekuel dan trilogi terdahulu yang hanya akan membuatkan anda keliru, penulis akan cuba mengulas filem ini tanpa meninggalkan spoiled untuk anda tonton nanti!

Star Wars: The Force Awakens, mengambil latar selepas 30 tahun peristiwa Return of the Jedi (1983) yang mana kuasa kejahatan Dark Side kembali berleluasa setelah berjaya mempengaruhi seorang Jedi muda yang bernama Kylo Ren.

Sekiranya anda peminat tegar filem sains fiksyen ini, pastinya anda dapat menyamakan kehadiran Kylo Ren dengan watak Anakin Skywalker atau Darth Vader.

Kisah bermula dengan Ren bersama tenteranya dari pemerintah First Order yang memburu peta lokasi penyembunyian Jedi terakhir, Luke Skywalker.

Mereka dapat mengesan peta itu di sebuah planet yang bernama Jakku dan telah melancarkan serangan di situ.

Bagaimanapun peta itu terlebih dahulu disembunyikan oleh Poe Dameron, seorang juruterbang dari kumpulan penentang.

Berada dalam jagaan droid miliknya, BB-8, nyata pencarian itu bukanlah suatu perkara yang mudah kerana Ren terpaksa berdepan dengan seorang wanita muda yang bernama Rey dan bekas anggota tenteranya, Finn yang berpaling tadah.

Dengan pelbagai aksi dan pertarungan yang dihidangkan pada awal penceritaan, ia sudah cukup membuatkan penonton teruja serta tertanya-tanya apakah yang akan berlaku seterusnya.

Tidak hanya aksi semata-mata, J.J Abrams turut memberikan suntikan komedi ringan yang secara tidak langsung memberikan keseronokan kepada penonton, sekali gus memberikan nafas baharu terhadap filem francais kesayangan ramai ini.

Anda pastinya akan lebih teruja dengan kemunculan Han Solo (Harrison Ford) dan Chewie di pertengahan cerita. Kehadiran mereka bukan sahaja menguatkan lagi filem ini bahkan dapat mengembalikan semula nostalgia terhadap Star Wars yang sememangnya cukup sinonim dengan wajah mereka.

Kehebatan lakonan Ford sebagai Han Solo tidak perlu dipertikaikan lagi. Dengan gaya bersahaja, Ford berjaya menghayati watak Han Solo, seiring usianya yang separuh abad itu.

Lebih mengujakan, apabila penonton dapat menyaksikan kemunculan sama Princess Leia (Carrie Fisher) yang masih berjuang demi keamanan. Meskipun hanya tampil di hujung cerita, kemunculan Fisher sebagai ketua penentang tetap membawa nostalgia yang hebat dalam filem ini.

Sudah menjadi trademark filem Star Wars, tidak lengkaplah filem ini tanpa pemandangan galaksi serta spesies kehidupan yang pelik.

Seperti filem terdahulu, penonton masih disajikan dengan penerbangan kapal-kapal canggih dengan beberapa pangkalan yang tersergam hebat. Dan semestinya aksi-aksi pertarungan yang cukup mendebarkan di tengah-tengah galaksi.

Dari gurun ke hutan hijau, ada sahaja lokasi yang memberikan pengembaraan hebat buat penonton, ditambah pula dengan sentuhan teknik CGI yang hampir sempurna.

Malah beberapa prop yang cukup terkenal dengan trademark Star Wars masih dikekalkan. Selain kostum sama yang dipakai tentera First Oder iaitu stormtrooper, penonton juga dapat menyaksikan kehadiran kapal lama milik Han Solo iaitu, Millenium Falcon, yang cukup serasi dengan pembikinan Star Wars.

Pujian juga harus diberikan kepada J.J Abrams dalam menghasilkan filem remake ini dengan caranya tersendiri tanpa mengetepikan identiti sebenar Star Wars.

Taruhan muka baharu

Turut mempertaruhkan pendatang baharu, Daisy Ridley sebagai teraju utama, ia mengingatkan kita kepada aktres Keira Knightley. Memiliki persis wajah bintang tersohor itu, maka tidak hairankan penulis dapat rasakan Ridley juga memiliki pesona dan aura serupa.

Tidak kurang hebatnya pelakon kelahiran Britain, John Boyega yang membawakan watak Finn. Tanpa pakej lengkap sebagai ‘hero’, dia tetap mampu membawakan wataknya.

Kejutan juga dapat dirasakan dengan kemunculan Luke Skywalker yang dibawa bintang veteran Mark Hamill di hujung cerita. Ia sekali gus membawa klu akan ada lagi sekuel filem remake ini.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");