Jenayah

‘Syukurlah emak selamat’

Baling: “Alhamdulillah, saya bersama ahli keluarga lain bersyukur kerana emak ditemui semula dalam keadaan selamat walaupun keletihan selepas doa tidak putus-putus kepada Allah SWT termakbul jua.”

Begitu kata Mohd Shukri Ibrahim, 48, apabila ibunya, Wa Yah Wa Nik, 91, yang hilang dalam tempoh 48 jam ditemui di kawasan paya 300 meter dari rumahnya di Kampung Charok Bakong, Pulai, dekat sini, jam 9.30 pagi semalam.

Sebelum itu, kehilangan warga emas berkenaan disedari jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu apabila gagal pulang ke rumah untuk makan tengah hari menyebabkan ahli keluarga berusaha mencarinya, tetapi buntu.

Mohd Shukri berkata, dia bersyukur selepas puas mencari ibunya di merata tempat termasuk di hutan dan bukit akhirnya wanita berkenaan ditemui selamat.

Menurutnya, sejak kehilangan ibunya, dia sukar melelapkan mata kerana memikirkan nasib warga emas berkenaan.

“Apabila dimaklumkan emak ditemui, saya ke kawasan paya itu dan bersyukur melihat emak masih bernafas dan membuka mata meskipun letih serta kesejukan.

“Penemuan semula emak membuatkan saya dan keluarga berasa terharu, sekali gus menjadi berita gembira kerana dia selama ini menjadi tempat kami lima beradik mengadu selepas ayah meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling Penolong Penguasa Bomba Mohd Suffian Alias berkata, lebih 50 anggota termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis, Unit STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta penduduk kampung terbabit dalam operasi berkenaan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");