Jenayah

Tak serik curi kenderaan

KUANTAN: Mahkamah Majistret Kuantan semalam menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas seorang buruh atas kesalahan mencuri kereta.

Tertuduh, Awang Khairul Awang Ngah, 30, mengaku bersalah mencuri kereta Proton Aeroback milik seorang wanita, Hamimah Uhamad, 53, di tempat letak kereta berhadapan pasaraya Kamdar kira-kira jam 7.30 petang, 24 Disember lalu.

Mengikut fakta kes, pengadu meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah pasar raya untuk membeli pakaian sekolah anak dan sejurus keluar ke kereta, pengadu mendapati kenderaannya sudah tiada.

Pengadu percaya ia telah hilang dan segera melaporkan kehilangan keretanya di balai polis.

Dalam pada itu, polis mendapati satu kenderaan mencurigakan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuantan-Pekan.

Selepas siasatan dijalankan, polis berjaya memberkas tertuduh di Taman Seri Maulana Pekan, yang ada kaitan dengan kehilangan kenderaan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar memohon agar hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh memandangkan dia turut mempunyai rekod lampau bagi kes sama sekitar 1999 dan telah menerima hukuman penjara selama dua tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohammad Hakimie Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu yang uzur.

Tertuduh juga tidak mampu membayar denda tinggi dan turut memohon agar mengurangkan tempoh penjara atau kerja wajib memandangkan bapanya sudah tiada.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara selama tiga tahun memandangkan ini bukan kali pertama dia melakukan kegiatan itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");