Berita Hari Ini

Tampil kejayaan

Putrajaya: Pendakwah di negara ini perlu menampilkan kehebatan dan kejayaan mereka dalam menarik orang bukan Islam mendekati agama ini sekali gus ‘membersihkan’ imej seperti miskin, buruk dan kotor ditonjolkan segelintir umat Islam lain.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu penting kerana imej Islam kini dicalarkan oleh ideologi dan interpretasi salah mengenai ajaran sebenar agama ini.

“Imej kita (Islam) memang tidak baik sebab interpretasi kita tidak kena kononnya, umat Islam mesti nampak miskin, buruk dan kotor, kemudiannya mahu mengajak orang lain yang berjaya untuk masuk Islam.

“Sebab itu dalam PERKIM, kita minta pendakwah mesti hebat dan tunjukkan kejayaan sebagai umat Islam. Ini barulah boleh menarik (bukan Islam) dan mereka bersimpati,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Seminar Serantau Muslim Pelbagai Kaum.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Naib Yang Dipertua 1 PERKIM, Naib Yang Dipertua 4 PERKIM Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Begitu juga dari segi bantuan, Dr Mahathir berkata, setiap golongan yang menghadapi kesusahan tidak kira Islam atau bukan Islam perlu diberikan pertolongan.

“Kita perlu tolong sama ada dia Islam atau tidak. Jika mahu bantu orang Islam sahaja, orang bukan Islam akan nampak buruk (terhadap Islam) serta menganggap kita pentingkan diri.

“Jika kita bertimbang rasa kepada orang bukan Islam, barulah mereka tertarik dengan agama ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, sekiranya sebuah negara Islam tidak ditadbir dengan baik serta kurang maju, ia bukan disebabkan agama Islam atau ajarannya.

“Faktor menyumbang perkara sedemikian kerana tidak mengambil kira ajaran Islam berikutan terpengaruh dengan idea asing dan ideologi.

“Pada masa lain, ia boleh dikatakan menolak ajaran Islam atas sebab politik,” katanya.

Mengulas mengenai program semalam, beliau berkata, terdapat ramai orang bukan Islam di Malaysia mula tertarik serta memeluk agama ini.

“Justeru, kita perlu melayan mereka seperti saudara sendiri dan sepatutnya tiada diskriminasi terhadap mereka.

“Kadangkala ada segelintir daripada kita merasakan mereka ini Muslim kelas kedua dan ini adalah salah sama sekali kerana tiada perbezaan antara umat Islam itu melainkan dari segi ketakwaan kepada Allah,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");