Berita Hari Ini

Terima 3,000 naskhah bahan bacaan

KLUANG: Dianggarkan 3,000 naskhah bahan bacaan diberikan oleh Yayasan Nur Karangkraf untuk penghuni tirai besi di Penjara Kluang untuk dimanfaatkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nora Ahmad berkata, program Yayasan Nur Karangkraf Charity Drive itu merupakan kesinambungan usaha dilaksanakan sebelum ini melibatkan Zon Pantai Timur.

Beliau berkata, pada kali ini melibatkan Zon Selatan terdiri daripada Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Karangkraf dengan kerjasama Jabatan Penjara.

“3,000 naskhah buku yang diberikan ini meliputi bahan bacaan seperti novel dan buku umum yang merangkumi buku seperti dekorasi, masakan, kraf tangan dan kesihatan. Buku-buku yang diberikan ini juga merangkumi kira-kira 100 tajuk yang boleh dibaca oleh penghuni di Penjara Kluang,” katanya selepas majlis penyerahan buku kepada Timbalan Penguasa Penjara Kluang, Jeremy Jahir di hadapan Penjara Kluang, semalam.

Sementara itu, Jeremy yang menjadi wakil kepada Pengarah Penjara Kluang, Timbalan Komisioner Penjara, Zawari Abd Rashid mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf menerusi program Yayasan Nur Karangkraf’s Charity Drive telah memilih institut Penjara Kluang sebagai salah satu institut yang menerima bahan bacaan.

Beliau berkata, sesungguhnya terdapat banyak implikasi positif yang diperoleh melalui program seumpama itu dan pihaknya berasa bertuah untuk menerima sumbangan berkenaan.

“Dengan pemberian buku ini ia dapat dimanfaatkan kira-kira 3,300 penghuni penjara dan buku-buku itu akan dibahagi-bahagikan untuk diletakkan di tiga tempat iaitu di Perpustakaan Sekolah Integriti Kluang, penjara wanita dan banduan lelaki.

“Buku-buku yang diberikan ini juga mampu menambah pengetahuan kepada banduan berkaitan dengan isu-isu semasa selain sumber motivasi kepada banduan untuk memajukan diri melalui buku-buku motivasi.

“Semoga dengan bantuan ini ia akan dapat memberi inspirasi kepada anggota serta banduan untuk terus memajukan diri pada masa akan datang,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");