Membawang Hari Ini

Teruja dalam hembusan dingin salji

Dibawa menjelajah beberapa bandar raya di Jepun bersama keluarga tercinta pastinya cukup menyeronokkan.

Inilah yang dialami pasangan selebriti popular Scha Alyahya dan Awal Ashaari selaku duta minuman kesihatan Yakult apabila dibawa ke Persidangan Dunia Yakult 2015 oleh Yakult (M) Sdn Bhd sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yakult di Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Lebih mengujakan, mereka turut membawa Lara Alana, anak mereka yang kini berusia setahun ke negara matahari terbit itu.

Selain Tokyo, keluarga popular ini turut dibawa menerokai Kyoto, Osaka, Sapporo dan Gotemba.

Persidangan Dunia Yakult 2015 turut membabitkan penyertaan 10,000 Yakult Lady (YL) dari 30 negara yang menjual Yakult di seluruh dunia.

Pada acara berkenaan, Scha dan Awal turut menyaksikan wakil YL Malaysia, Suramah menerima penghargaan Shirota Award daripada badan tertinggi Yakult di atas kecemerlangannya menjual minuman itu dari rumah ke rumah.

Pemilihan Suramah bersama lima YL lain dilakukan Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd Toshihiko Haramoto dan Pengarah Pemasaran dan Jualan Hiroshi Hamada berdasarkan tempoh perkhidmatan, hubungan dengan pelanggan, sikap dan jumlah jualan.

Scha selaku duta Yakult berasa cukup bertuah dan bangga apabila mewakili Malaysia dengan membawa jenama minuman itu di mata dunia.

“Saya terharu apabila dipilih menjadi sebahagian daripada keluarga Yakult. Melihat setiap YL menerima pengiktirafan membuatkan saya sebak.

“Bagi saya, bukan tugas mudah apabila dipilih mewakili jenama antarabangsa ini. Ia sedikit sebanyak mendorong saya untuk bekerja lebih keras,” katanya.

Menurut Scha, ketika di sana, dia tertarik dengan masyarakat Jepun yang menjadikan minuman Yakult sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat mereka.

“Mereka sangat mementingkan probiotik dalam badan mereka. Saya juga kagum melihat kegigihan YL menjual minuman ini meskipun ada di antara mereka sudah berusia lebih 40 tahun. Bukan senang nak berjaya seperti mereka,” katanya.

Selain itu, dibawa ke beberapa lokasi menarik di Tokyo, Kyoto, Osaka, Sapporo dan Gotemba turut menjadikan ia pengalaman sukar dilupakan buat mereka.

“Ini antara lokasi percutian paling menarik bersama keluarga saya tahun ini. Jepun sangat memberi kesan kepada saya.

“Walaupun tujuan asalnya adalah bekerja, tapi ia juga percutian kami sekeluarga. Pihak Yakult memberi layanan yang sangat baik dari mula hingga kami pulang. Pendek kata, segala kebajikan sepanjang berada di sana dijaga dengan cukup sempurna,” katanya.

Menurut Scha, hubungan baik yang terjalin antara mereka dengan pihak pengurusan Yakult di negara ini diibaratkan seperti satu keluarga.

Lara seronok main salji

Di setiap lokasi, keluarga ini turut menjalani penggambaran bagi episod istimewa program Nona di TV3 untuk siaran tahun depan.

Di Kyoto, mereka menjalani penggambaran di Eikan Do Zenrin Ji dengan mengenakan busana tradisional Jepun iaitu kimono.

Seterusnya, mereka dibawa ke Shinsaibashi Suji, Osaka bagi merasai sendiri suasana membeli-belah di jalan yang cukup terkenal dengan kesibukan penduduk setempat dan pelancong asing.

“Secara peribadi saya menyukai Osaka kerana ia sangat tenang. Walaupun cuma satu malam, tapi ia sangat menyeronokkan.

“Kali terakhir saya ke Jepun ialah tiga tahun lalu. Apabila kembali semula, banyak perubahan berlaku, tetapi suasananya masih sama. Setiap tempat rasa selamat saja,” katanya.

Tidak lengkap percutian musim ini tanpa mengunjungi Sapporo iaitu satu-satunya bandar yang mengalami musim salji ketika itu.

Di situ, mereka dibawa ke International Ski Resort. Walaupun suhu jatuh sehingga -1 darjah Celsius, masing-masing teruja. Apatah lagi, Lara dilihat sangat teruja bermain salji.

Ketika di Sapporo, Scha dan Awal dibawa bertemu beberapa YL bagi melihat sendiri cara mereka menjual Yakult.

Satu lagi lokasi yang wajib dikunjungi adalah Mount Fuji Peace Park di Gotemba. Berlatar belakang Gunung Fuji, lokasi itu menjadi tarikan utama setiap pelancong yang berkunjung ke sana.

Lokasi terakhir yang dikunjungi adalah Tokyo Disneyland. Di situ, keluarga ini tidak melepaskan peluang melihat sendiri watak kartun popular Walt Disney yang menjadi tarikan seluruh dunia.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");