Jenayah

Tiga bilik darjah terbakar

NILAI: Tiga bilik darjah di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di sini, terbakar dipercayai angkara khianat dalam kejadian awal pagi, semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.25 pagi, tiga bilik darjah itu terbakar 20 peratus di bahagian belakang.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Masdor Seminggu, berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 2.30 pagi.

“Dua jentera bersama 13 anggota tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. Sebaik tiba kelihatan api sedang marak di bahagian belakang bilik darjah.

“Kami mengambil masa lebih kurang tujuh minit untuk memadam api dan daripada merebak ke bilik darjah lain,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, antara yang musnah terbakar ialah siling, pintu , dinding dan beberapa buku teks di dalam bilik darjah tersebut.

“Hasil siasatan awal kita ada unsur khianat kerana terdapat kesan curahan minyak tanah di dua bilik darjah yang tidak terbakar.

“Kita telah serahkan kes ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Nilai, Deputi Superintendan Mohd Sabri Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya kini sedang melakukan siasatan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");