Panasnya Hari Ini

Tugas Parti Islam Bukan Sebagai Penasihat Kerajaan

Foto:- Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Tugas-tugas parti politik termasuk parti Islam bukan sebagai penasihat kepada kerajaan, sebaliknya parti Islam perlu melaksanakan tugas utama iaitu tadaafuq atau semak dan imbang.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, tugas menasihati kerajaan adalah kerja yang perlu dipikul oleh mufti, ulama, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan.

“Ini (menasihati kerajaan) kerja mufti, ulama, NGO dan cendekiawan. Tugas parti politik, termasuk parti Islam, yang bercita-cita mengurus tadbir negara perlu melaksanakan tugas utama iaitu tadaafuq atau semak dan imbang.

“Dengan itu, barulah rakyat tahu kemungkaran, segala maksiat ekonomi, rasuah dan pembaziran yang dilakukan penguasa. Inilah sebenarnya membela rakyat dan menyelamatkan negara,” katanya, memetik laporan Free Malaysia Today.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tawaran parti itu untuk menjadi penasihat kerajaan adalah untuk menyelamatkan negara dan bukan kerana pangkat.

Abdul Hadi juga, pada 17 Disember lalu, telah berkongsi pentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika majlis perasmian Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia.

Sementara itu, Dr Dzulkefly yang juga bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, AMANAH bersedia untuk mengambil alih peranan PAS dalam melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“PAS sudah tinggalkan perjuangan pemimpin terdahulu seperti (bekas presiden) Allayarham Yusuf Rawa dan Allayarham Fadzil Noor serta (bekas Mursyidul Am), Nik Aziz Nik Mat dan konsep ‘Muwaajahah Silmiyah’ (persaingan politik secara sihat).

“Memang inilah yang kita takuti dan jangka dari dulu. Maka peranan AMANAH adalah untuk mengambil alih ruang utama yang ditinggalkan PAS,”jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");