Sukan Hari Ini

Tunggu keputusan rasmi

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak (gambar) enggan mengulas mengenai peluangnya dilantik pengendali Harimau Malaya meskipun beliau kini dilaporkan antara tiga calon pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Hodak, 44, mengakui ada menghantar permohonan bagi merebut jawatan itu namun sehingga kini tiada sebarang maklumat atau perbincangan dengan FAM mengenai status permohonan berkenaan.

“Saya tidak tahu sama ada saya calon pilihan. Saya cuma tahu daripada laporan berita dan sehingga kini tidak ada apa-apa keputusan rasmi.

“Memang saya ada memohon. Tapi saya tidak boleh beri apa-apa komen mengenai perkara ini sehingga FAM membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Hodak yang berasal dari Zagreb, Croatia antara calon disenarai pendek Jawatankuasa Bertindak Khas FAM selain pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts.

Sumber rapat badan induk itu berkata, daripada 84 calon dalam dan luar negara yang memohon, tiga nama itu menarik perhatian panel pemilih kerana mempunyai pengalaman luas dengan bola sepak tanah air bagi mengisi tempat Dollah Salleh yang meletak jawatan September lalu.

Hodak memulakan karier bersama UPB-MyTeam pada 2006 dan pernah bersama kelab Kemboja Phnom Penh Crown, Shandong Luneng Taishan FC di China sebelum dilantik jurulatih Kelantan pada 2012.

Bersama Kelantan, beliau mencipta nama apabila merangkul tiga kejuaraan Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA menerusi musim pertamanya sebelum meninggalkan skuad The Red Warriors pada 2013 meskipun mempertahankan Piala FA.

Hodak kemudian membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) memenangi Liga Super pada 2014 namun kedudukannya tidak bertahan lama apabila digantikan dengan Mario Gomez pada April lalu.

Ketika ini beliau baru saja tamat kontrak dengan Johor DT dan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pasukan.

“Sebelum ini ada pasukan berminat, tapi saya terpaksa menolak kerana masih ada kontrak dengan Johor DT. Tapi sekarang sudah tamat, jadi jika ada pihak berminat, saya sedia berunding,” katanya.

Ketika ditanya sama ada sudah mempunyai perancangan jika dipilih jurulatih Harimau Malaya, Hodak berkata: “Saya akan menerangkan perancangan itu kepada FAM. Tapi buat masa ini tiada apa yang perlu diperkatakan tanpa sebarang pengesahan.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");