Isu Panas

Umno-Pas boleh bertukar pandangan demi agama, bangsa

KUALA TERENGGANU – Umno dan Pas boleh mula merintis kerjasama dengan saling memberi pandangan dalam perkara melibatkan kepentingan agama serta bangsa.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu, Datuk Ahmad Sidi Ismail mengakui, usaha perpaduan antara kedua-dua parti itu agak sukar dan mengambil masa panjang, namun ia bukanlah pengakhirannya.

Menurutnya, kerjasama dalam perkara tertentu mungkin boleh dimulakan demi kepentingan bersama dan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang, dengan ancaman dari luar dan dalam, sudah tiba masanya untuk kita bekerjasama dan bersatu suara dalam perkara melibatkan kepentingan orang ramai.

“Jika dalam keadaan begini kita masih bermusuhan, bagaimana agaknya kesudahan nanti? Berlainan dasar dan ideologi tidak bermakna kita perlu bermusuhan kerana saya percaya, ada ruang tertentu kita boleh bekerjasama dan saling memberi pandangan.

“Apa nasib orang Melayu, bumiputera dan Islam khususnya jika kita tidak bersatu serta saling berjauhan. Kita akan mudah diperlekehkan dan ditindas jika terus berpecah-belah. Inilah masanya untuk kita bersatu suara demi rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Sidi, walaupun kerjasama itu agak sukar melihatkan sejarah sebelum ini, namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dimulakan.

Katanya lagi, saling memberi pandangan dan menasihati adalah permulaan kepada kerjasama positif, yang boleh dimulakan kedua-dua pucuk pimpinan parti sekiranya mahu melihat penyatuan ummah dan bangsa.

“Soal bergabung masih terlalu awal, tapi kita boleh pergi ke arah itu (kerjasama) kerana akhirnya Melayu dan Islam perlu bersatu. Eloklah jika ada usaha untuk bekerjasama, daripada kita berpecah-belah dan saling bermusuhan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");