KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi mengulangi janji kerajaan untuk tidak membenarkan universiti awam menaikkan yuran pengajian bagi pelajar prasiswazah.
Timbalan perdana menteri berkata jaminan itu dibuat demi kebajikan pelajar universiti awam meskipun peruntukan kepada sektor pendidikan tinggi berkurangan dalam Bajet 2016.
“Pengurangan peruntukan kira-kira RM2.4 bilion (berbanding tahun sebelumnya) untuk Kementerian Pendidikan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh universiti untuk menaikkan yuran pengajian.
“Saya yakin faktor ini tidak akan menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan di universiti, malah pengurangan bajet kali ini mempunyai hikmah yang tersembunyi apabila berpotensi menonjolkan sifat berdaya tahan sesebuah universiti awam dalam mengharungi cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di sini hari ini. Teks ucapan timbalan perdana menteri dibacakan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa sejak dua tahun lepas, kementerian berkenaan telah memberi mandat kepada universiti untuk mencari 30 peratus sumber kewangan sendiri.
Beliau yakin semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mampu menyerap keadaan ini dan melihatnya sebagai satu cabaran baharu dunia pendidikan tinggi negara.
“Sesungguhnya, inilah masanya universiti awam melipatgandakan usaha bagi menjana pendapatan sendiri bagi membantu menampung perbelanjaan universiti,” katanya.
– Bernama