Sukan Hari Ini

Van Gaal tersepit

London: Hanya beberapa hari selepas pemergian mendadak Jose Mourinho dari Chelsea, Louis van Gaal kini berada di ambang pemecatan pengurus berprofil tinggi Liga Perdana Inggeris.

Tekanan memuncak buat pengurus Manchester United itu, yang diburu media di padang latihan United di Carrington kelmarin berikutan spekulasi beliau akan dipecat jika pasukannya kalah salah satu daripada dua perlawanan berikutnya di Stoke City Sabtu ini atau perlawanan laman sendiri menentang Chelsea, Isnin depan.

Pengendali berusia 64 tahun itu kelihatan sayu selepas kekalahan mengejut 1-2 di tangan Norwich City Sabtu lalu dan ia diburukkan lagi dengan laporan pertelagahan di bilik persalinan serta keraguan ahli lembaga pengarah terhadapnya semakin menebal sejak itu.

Tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, kekalahan di tangan pasukan bermasalah Bournemouth dan Norwich, yang menyebabkan United terkeluar daripada kelompok empat teratas Liga Perdana dan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Leicester City, amat menyukarkan tugasnya.

Hingga kini, Van Gaal menempelak setiap kritikan daripada penyokong dan media, namun kekalahan di tangan Norwich menyebabkan United tidak meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan dan pengendali Belanda itu tidak dapat menyembunyikan tekanan dihadapinya.

Beliau dikecam beberapa bekas pemain ternama United dan diejek oleh peminat yang tidak berpuas hati, sesetengahnya meminta Jose Mourinho menggantikan Van Gaal hujung minggu lalu.

Secara khalayak pemain United menegaskan Van Gaal tetap mendapat sokongan mereka namun seperti pemecatan Mourinho minggu lalu, hakikatnya ia berbeza.

Mourinho dipecat berikutan pemberontakan dalam kalangan pemain Chelsea yang semakin muak dengan corak pengurusannya.

Sama sepertinya, Van Gaal dilaporkan sudah hilang sokongan beberapa pemain senior United kerana benci dengan sikap autokratik diamalkannya.

Rungutan utama mereka dikatakan terhadap pendekatan pengendali Belanda itu, berikutan coraknya yang terlalu berhati-hati dan kritikan pedasnya menerusi sesi analisis selepas perlawanan bersama penganalisis persembahan Max Reckers.

Pemain sayap Sepanyol Juan Mata mendedahkan situasi rumit yang dihadapi United ketika ini.

“Kami amat kecewa, sama seperti minggu lalu dan kami perlu menang secepat mungkin kerana ia akan mengubah mood dan memberikan kami keyakinan,” tulis Mata dalam blog mingguannya.

“Kami berada dalam situasi rumit dan dalam usaha menanganinya kami perlu bersatu dan percaya dengan diri sendiri.

“Peluang kami berikutnya adalah pada Hari Boxing di Stoke dan ia bukannya satu perlawanan mudah.

“Tidak kira bagaimana sukarnya situasi yang kami hadapi, saya tidak akan berputus asa.

“Saya percaya itulah satu-satunya cara untuk keluar daripada kemelut ini.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");