Perak Hari Ini

Vape: Kerajaan Persekutuan Perlu Beri Keputusan Rasmi

IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari ini meminta agar Kerajaan Persekutuan membuat penegasan secara rasmi berhubung isu penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sehingga kini, Kerajaan Negeri masih menanti keputusan daripada pihak Kerajaan Persekutuan berkenaan isu tersebut.

Ujarnya, Kerajaan Persekutuan seharusnya membuat satu keputusan rasmi untuk menyelaraskan daripada segi penggunaan vape berkenaan di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri mengambil pendirian dengan membuat keputusan untuk mendapatkan penegasan daripada Kerajaan Persekutuan atas kedudukan penggunaan vape ini.

“Kita akan menerima pakai apa sahaja keputusan yang telah diputuskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya, penegasan daripada pihak Kerajaan Persekutuan perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang spekulasi terhadap penggunaan vape berikutan isu berkenaan telah menjadi kontroversi.

“Maka saya menyeru kepada pihak kerajaan dengan meletakkan peraturan-peraturan keatas perkara seperti vape, rokok dan lain-lain hendaklah diberikan keputusan secara rasmi.

“Kita tidak boleh membenarkan pihak media ataupun orang ramai terus membuat spekulasi yang menyebabkannya memberikan pandangan yang berbeza dan akan menjuruskan masyarakat kita kepada perbahasan-perbahasan yang tidak bermanfaat,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri itu juga akan mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak yang berkaitan termasuk daripada Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

“Kita tahu seperti mana yang kesan-kesan laporan yang telah dikemukakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan juga nasihat yang diberikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak juga diambil kira,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");