PEKAN 23 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan pelajar perlu memiliki kemampuan mengadaptasi transformasi sistem pendidikan negara supaya lebih berdaya saing menghadapi cabaran dalam persekitaran baharu pada masa akan datang.
Perdana Menteri berkata, peredaran zaman memerlukan mereka membuat keputusan secara kreatif dan inovatif seperti ditekankan menerusi sistem pendidikan yang berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
“Pada zaman saya belajar, apa yang ditekankan adalah menghafal. Hafal sampai tidak boleh lupa nombor-nombor atau fakta. Hari ini berlaku perubahan yang mana pembelajaran secara menghafal tidak boleh lagi menentukan kejayaan masa depan.
“Apa yang perlu ialah kemahuan kita sebagai seseorang individu untuk berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menjana idea-idea supaya mampu menghadapi apa juga persekitaran baharu. Ada kemampuan adaptasi.
“Umpamanya kita mungkin terpaksa mencari perkerjaan dalam bidang yang belum wujud lagi.
Jadi, kemahuan kita untuk mengubah suai diri dan mengisi cabaran baharu adalah satu kesiapsiagaan yang perlu dilakukan menerusi sistem pendidikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 dan bantuan persekolahan pelajar miskin Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail dan Ketua Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa.
Dalam pada itu, Najib berkata, apa sahaja tindakan melibatkan kepentingan pendidikan seperti perbelanjaan bagi tujuan itu perlu dilihat sebagai satu pelaburan untuk jangka masa panjang.
“Jika kita melabur dalam pendidikan secara bijak dan berkesan, maka pulangannya adalah amat besar bukan untuk setahun dua tetapi sepanjang hidup kita boleh berjasa kepada keluarga, agama dan negara,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepada sokongan komuniti atau ekosistem tempatan yang merupakan faktor penting kepada kejayaan dalam bidang pendidikan selain peranan guru berdedikasi, kepemimpinan di peringkat sekolah, peralatan bantu mengajar dan belajar serta sekolah bermutu.
“Sebab itu, kita mesti anggap sekolah bukan kepunyaan guru dan murid semata-mata tetapi adalah hak milik serta tanggungjawab kita bersama dalam komuniti setempat dan kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengadakan pertemuan tertutup lebih satu jam dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Orang Asli di Hotel Ancasa Royale di sini.
– Utusan Malaysia