Berita Hari Ini

Azmin cabar Chegubard serah bukti kepada SPRM

AMPANG – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard agar mengemukakan bukti kepada SPRM berkenaan projek pembalakan di Selangor dan bukannya ‘menyalak’ kepada pihak media.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya menegaskan tiada sebarang permit dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk aktiviti pembalakan tersebut.

“Jangan fitnah dan tak perlu cabar saya. Jika ada bukti, serahkan kepada SPRM. Tak perlu gunakan media, biar SPRM siasat.

“Saya tidak terlibat dalam pemilihan atau jawatankuasa berhubung kebenaran kelulusan, sebaliknya ia di bawah jabatan perhutanan,” katanya ketika menjawab soalan media selepas program pelancaran bas percuma, Smart Selangor di Ukay Perdana, semalam.

Menurutnya, aktiviti pembalakan hanya dibenarkan jika melibatkan kepentingan awam untuk jajaran talian elektrik atau lebuh raya.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada buat permohonan jajaran talian elektrik menggunakan laluan hutan, namun disyorkan tidak melalui hutan simpan dan syarat dikeluarkan juga ketat dengan memastikan sistem tadahan tidak terjejas dan hutan tidak rosak.

“Ini kerana kerajaan negeri ada polisi pengekalan hutan simpan sebanyak 30 peratus dan sasaran tersebut melebihi daripada disasarkan,” katanya.

Mohamed Azmin menambah, sekiranya kelulusan diberikan, jumlah pampasan yang dikenakan juga tinggi kepada syarikat utiliti.

Semalam, Chegubard mendakwa, Kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan di dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik TNB di Chubadak dan Mahkota Cheras di Kuala Lumpur.

Beliau turut mendakwa mempunyai surat berstatus rahsia yang membuktikan dua syarikat dianugerahkan kontrak membalak secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");