PADANG RENGAS: Kewujudan Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C) dilihat mampu membantu kerajaan dalam menyediakan pasukan tindakan balas pantas untuk menangani sebarang bencana pada peringkat awal sebelum ketibaan agensi berwajib.
Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Perak, Kol. (PA) Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, kewujudan CDERT-C bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya ia telah lama wujud di negara-negara yang sering menghadapi bencana.
“Dengan tingginya pengetahuan dan kemahiran masyarakat tempatan itu sendiri dalam menangani apa jua bencana, ianya akan memberi impak yang rendah terhadap bencana yang berlaku.
“Ianya akan meningkatkan kelangsungan hidup dan kesejahteraan kepada mana-mana kawasan yang dilanda bencana,”katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Penutup Tamat Latihan Asas CDERT-C Kampung Ngor dan Kampung Changkat Duku, di sini, petang tadi.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor, Pegawai JPAM Kuala Kangsar, Leftenan Mohd Haspi Hamzah dan Ketua Kampung, Kampung Ngor, Zakaria Hasim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara latihan yang diterima oleh anggota-angggota CDERT-C adalah latihan untuk mewujudkan pelan keselamatan kampung, pencegahan kebakaran, pengurusan pusat-pusat pemindahan, operasi menyelamat tanpa sebarang peralatan (basic rescue) dan kawad.
Noor Hassan turut berkata, terdapat 189 CDERT-C yang menjalani latihan di Perak , namun CDERT-C di Kampung Ngor dan Kampung Changkat Duku merupakan yang pertama menamatkan modul yang telah ditetapkan.
“Anggota perlu menjalani latihan asas selama 20 jam. Mereka akan didedahkan untuk mengurus apa juga bencana dan mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda.
“Bagaimanapun, ianya merupakan latihan tanpa henti. Terdapat pelbagai bentuk latihan yang boleh dimanfaatkan walaupun tidak ada bencana,”katanya.
Ujarnya lagi, antara syarat yang wajib dipenuhi untuk menubuhkan CDERT-C adalah ianya mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu platun yang disertai oleh 30 hingga 33 anggota.
Jelas beliau lagi, tidak ada had umur yang ditetapkan untuk menjalani latihan, sebaliknya, perlu mempunyai had umur tertentu untuk terlibat dalam operasi menyelamat.
“Kalau kerja berkaitan mengurus makanan dan sebagainya, ia tiada had umur, tetapi jika ianya berkaitan kerja-kerja menyelamat, anggota mestilah berusia 55 tahun ke bawah kerana kita memerlukan tenaga yang kuat untuk membantu orang lain,”jelas beliau.
Sementara itu, Zainun berpendapat, penubuhan CDERT-C ini amat baik kepada penduduk-penduduk kampung terutamanya bagi kawasan yang sering dilanda bencana.
“CDERT-C ini menekankan suasana kerja dan nilai berpasukan yang amat baik diantara satu sama lain.
“Dengan penubuhan CDERT-C ini juga akan dapat bertindak balas dengan cepat sekiranya bencana berlaku.
“Sudah tentu dengan bantuan daripada anggota CDERT-C ini, kehadiran bantuan yang kedua akan berasa lega sedikit, tidaklah tertekan sangat apabila bantuan awal telah dilakukan oleh orang kampung itu sendiri,”ujarnya.