Berita Hari Ini

DLP: Sekolah Kebangsaan jadi mangsa diskriminasi

KUALA LUMPUR – Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan mendakwa sekolah kebangsaan sekali lagi dijadikan mangsa diskriminasi dalam pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) yang bermula pada awal tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, program mirip dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak pula dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Kami tidak menolak Bahasa Inggeris, penyakitnya pening kepala, kenapa beri ubat cirit-birit?

“Masalahnya kefasihan dalam Bahasa Inggeris, (di sini) berlaku ketidakadilan (kerana) tidak dibuat di sekolah lain,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 berkata, pelaksanaan DLP dalam mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Reka Bentuk dan ICT mula diperkenalkan kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 sekolah kebangsaan awal bulan ini.

Program itu adalah sebagai langkah bagi mengatasi kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, pihaknya banyak kali menghantar surat bantahan program itu, namun jawapan yang diberi sangat mengecewakan.

“Usaha kami kepada Kementerian Pendidikan termasuk Ketua Putera Umno, Ketua Puteri dan Perdana Menteri termasuk diminta dibawa ke Perhimpunan Agung Umno, namun isu ini tidak ditimbulkan.

“Kami berutus surat beberapa kali tiada tindakan, kami terkilan dan dukacita dengan tindakan kerajaan tidak pedulikan isu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shaharir juga berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Majlis Raja-Raja termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shahs dalam masa terdekat.

Shaharir berkata lagi, pihaknya akan meneruskan perundingan bantahan itu sehingga akhir Februari ini supaya DLP dimansuhkan dengan segera.

“Jika perundingan itu gagal termasuk kepada Perdana Menteri sehingga akhir bulan depan, kami tidak menolak mengadakan tunjuk perasaan pada 26 Mac depan,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");