Sukan Hari Ini

Hantar pulang Carlos

K DEVAN membuktikan dia cukup serius memburu awang import berkualiti apabila bertindak menghantar pulang David Carlos sebelum sempat pemain asing itu diuji dalam aksi persahabatan pasukannya menentang Air Asia FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Pengendali The Red Warriors itu berkata, dia membuat keputusan mengetepikan penyerang kelahiran Brazil itu setelah gagal memenuhi kriteria ditetapkan selaku pemain import berprestasi tinggi untuk pasukannya.

Carlos, 28, tiba di Kota Bharu bersama seorang lagi rakannya, Andre Luiz Araujo, Isnin lalu, dan hanya sempat menjalani latihan selama tiga hari bersama skuad pantai timur itu sebelum digugurkan oleh Devan.

“Saya tidak nampak apa-apa kelebihan ada pada David (Carlos). Saya tidak akan uji pemain ini pada pertemuan menentang Air Asia malam esok dan dia telah pun dihantar pulang.

“Sebaliknya, hanya tiga pemain sahaja akan diuji pada pertemuan tersebut iaitu Andre (Luiz Araujo), Lee (Gil Hoon) dan seorang lagi pemain yang dijangka tiba dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Difahamkan calon ketiga awang import itu merupakan bekas tonggak Sime Darby FC musim lalu, Marko Perovic dan pemain kelahiran Serbia itu sudah pun turun menjalani latihan sejurus tiba di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu, aksi persahabatan tersebut memberi peluang kepada anak buahnya untuk meningkatkan tahap kecergasan setelah skuad itu berlatih hampir sebulan lalu.

“Ini adalah perlawanan persahabatan kedua untuk Kelantan dan saya fikir ia sangat bagus kepada semua pemain memandangkan stamina mereka masih belum mencapai tahap seperti saya mahukan.

“Pada masa sama, saya ingin jelaskan masih terlalu awal untuk saya memberi fokus kepada usaha mencari kombinasi, formasi dan taktikal pasukan ini. Perlawanan ini adalah untuk kita memilih pemain import terbaik sahaja,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");