TINGGAL kurang daripada sebulan lagi, Liga Malaysia musim baharu akan memulakan tirai.
Sama seperti pasukan-pasukan hebat lain, Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak ketinggalan membuat persiapan.
Bukan sahaja persiapan dari segi kesihatan pemain dan barisan kejurulatihan skuad 2016, malah persiapan turut melibatkan fasiliti, prasarana dan infrastruktur diguna pakai pasukan.
Tukar kerusi tempat duduk penonton
Seperti dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, dimaklumkan projek penukaran kerusi baharu stadium kini sudah memasuki fasa terakhir.
Penukaran kerusi tempat duduk penonton di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sudah hampir selesai.
Kini hanya tinggal sebahagian kecil kawasan yang masih dalam proses penggantian kerusi yang lama kepada yang baru.
Dengan kemudahan yang dipertingkatkan, pastinya akan memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung dan memberi imej yang lebih baik kepada stadium. Luaskan Kuasamu Johor.
Selenggara LED Board
Kelab Bola Sepak JDT dan PBNJ turut melakukan proses penyelenggaraan ‘LED Board’ di padang Stadium Larkin, kini giat dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.
Penyelenggaraan ini merangkumi segala aspek untuk memastikan ‘LED Board’ ini dapat berfungsi dengan baik ketika perlawanan sedang berlangsung. Segala penambahbaikan dan penyelenggaraan kemudahan di stadium amat dititikberatkan oleh pihak pengurusan stadium untuk keselesaan para penyokong.
Wajah Baharu Stadium Larkin
Johor Southern Tigers turut memaklumkan ketika ini satu projek menggantikan pagar ‘arcylic’ di sekeliling kawasan tempat duduk terbuka menghadap padang Stadium Larkin sedang giat dijalankan secara berperingkat.
Pagar lut sinar tersebut direndahkan sedikit daripada aras sebelum ini yang bertujuan memberikan keselesaan kepada penyokong menyaksikan perlawanan.
Meskipun lebih rendah, kehadiran Marshall Stadium untuk membantu mengawal keselamatan menunjukkan bahawa pengurusan stadium tetap komited dalam memastikan pelbagai sudut diambil kira.
Antara usaha lain menjelang sepak mula musim baharu
Persiapan lain dilakukan adalah pemasangan ‘A-Board’ di Padang Seri Gelam dengan logo-logo penaja yang memberikan tajaan kepada pasukan JDT musim baharu, termasuk Adidas.
Di samping itu, kelebihan pusat latihan di Padang Seri Gelam dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih.
Dengan setiap kelebihan yang ada, ia tidak menjadikan halangan masa sebagai penyebab tidak menjalani latihan.
Ia (latihan) dilihat tidak terhad kepada sesi petang sahaja, sebaliknya pemain juga menjalani latihan pada sebelah malam dengan penggunaan lampu limpah.
Tidak terkecuali sesi pemeriksaan kesihatan untuk para pemain dan pegawai kelab bola sepak JDT.
Pemeriksaan tersebut yang dikelolakan oleh pihak Hospital Pakar (KPJ) Johor merupakan rutin tahunan sebelum bermulanya musim baru.
Johor Southern Tigers memaklumkan ia merupakan perkara asas untuk memastikan seluruh pemain dan kakitangan kelab bola sepak JDT mencapai piawaian yang ditetapkan.
Malah tidak terkecuali pemilihan Marshall stadium yang dilakukan bagi membantu menjaga dan mengawal keadaan persekitaran di dalam stadium ketika perlawanan berlangsung.
Dengan apa yang diusahakan oleh Kelab Bola Sepak JDT dan PBNJ di bawah pimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, maka tidak hairan lah JDT sahaja yang layak untuk bermain di kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Meskipun baharu sahaja melalui proses transformasi sejak tahun 2013, JDT jauh lebih ke hadapan berbanding pasukan-pasukan lain di dalam Liga Malaysia.
-Sinar Harian